BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Usul pelantikan speaker lulus, bukti Anwar atau Mahathir tiada sokongan majoriti


KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Disebalik kekecohan dan perdebatan panas, persidangan hari pertama Dewan Rakyat hari ini meluluskan lima usul kerajaan termasuk usul Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, yang memerlukan undi belah bahagian oleh 222 Ahli Parlimen.

Meskipun jumlah undi diperoleh bagi usul mengosongkan jawatan Yang Dipertua bagi memberi laluan pelantikan baharu itu tipis, ia membuktikan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat kelebihan sokongan Ahli Parlimen, sekali gus menidakkan dakwaan pembangkang.

Undi belah bahagian yang dijalankan menyaksikan 111 Ahli Parlimen menyokong, 109 tidak bersetuju dengan usul itu, manakala Ahli Parlimen Kota Marudu Maximus Johnity Ongkili tidak hadir dan seorang lagi berkecuali.

Pemilihan Datuk Azhar Azizan Harun, 58, yang merupakan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bagi menggantikan Mohamad Ariff sejak awal-awal lagi berhadapan bantahan pembangkang.

Azhar, mengangkat sumpah jawatan selepas dewan menyambung semula persidangan pada sebelah petang, di tengah-tengah kekecohan Ahli Parlimen pembangkang mendesak supaya dibenar mengemukakan calon Yang Dipertua dewan dan melakukan pengundian semula.

 
Seperti dijangkakan, persidangan yang berlangsung dalam normal baharu berikutan penularan wabak COVID-19, menyaksikan pertikaman lidah antara pembangkang dan penyokong kerajaan sejurus usul dicadangkan perdana menteri.

Usul kerajaan untuk menggantikan Mohamad Ariff mendapat bantahan daripada pembangkang yang mendesak Muhyiddin menjelaskan alasan kukuh dan bukan hanya disebabkan mempunyai pencalonan lain.

Mempersoalkan keperluan menukar Mohamad Ariff yang disifatkan telah menjalankan tugas dengan baik sejak dilantik pada Julai 2018 selepas pembentukan kerajaan Pakatan Harapan, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang menyatakan alasan ‘terdapat pencalonan lain’ yang diberikan untuk usul itu tidak munasabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan ketika menggulung perbahasan usul itu menjelaskan pertukaran jawatan-jawatan utama termasuk Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam negara lazim berlaku apabila kerajaan baharu mengambil alih tampuk pemerintahan. 

Katanya notis pencalonan nama baharu bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat telah dikemukakan pada 29 Jun lalu dan ia diterima Mohamad Ariff serta dimasukkan sebagai satu usul yang perlu dibahaskan.
 
Mohamad Ariff dalam reaksinya menyatakan usul itu mematuhi Perkara 57 (2) (c) Perlembagaan Persekutuan dan dilakukan oleh Ahli Parlimen, bukannya Perdana Menteri atau Kabinet.

Sidang hari ini turut mencatat sejarah Parlimen negara, apabila Dewan Rakyat buat pertama kali meluluskan usul memilih Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Pemilihan Azalina, 57, yang merupakan wanita pertama memegang jawatan itu adalah bagi menggantikan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming yang meletak jawatan berkenaan.

Selain itu, dewan turut meluluskan usul cadangan pelantikan enam Ahli Parlimen sebagai Ahli Jawatankuasa Pemilih serta usul untuk Ketua Polis Negara menjaga jalan dan lorong menuju ke Dewan Rakyat supaya tidak ada kacau bilau dan huru-hara.

Dalam pada itu, Azhar berdepan tugas mencabar sejurus mengangkat sumpah jawatan Yang Dipertua apabila berterusan 'diasak' Ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkan tatacara pelantikannya hingga mengganggu perjalanan sidang dewan.

Ini memaksa beliau mengambil tindakan tegas dengan mengarahkan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad keluar dewan sehingga tamat persidangan hari ini.

Kekecohan yang berlarutan sehingga menyukarkan keadaan untuk Ahli Parlimen berucap memaksa Takiyuddin bangun mengusulkan persidangan ditangguhkan lebih awal dan disambung esok.
-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »