BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Terowong dasar laut : Ketua Menteri beri keterangan selama empat jam di SPRM


GEORGE TOWN, 7 Julai (Bernama)-- Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini bagi memberi keterangan berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Pemimpin utama negeri itu tiba di bangunan SPRM pada 8.55 pagi dan berada di bangunan tersebut selama empat jam 15 minit.
Sejurus keluar dari bangunan SPRM pada 1.15 tengah hari, Chow yang dikerumuni pemberita berkata fokus keterangan beliau kepada SPRM ialah berhubung projek terowong dasar laut.

"Saya telah memberi keterangan kepada SPRM sejak 9 pagi dan fokus adalah terhadap projek terowong serta pengesahan akan keputusan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) terhadap projek ini (terowong dasar laut)," katanya, menambah tiada sebarang dokumen diserahkan kepada SPRM.

Ketika ditanya tentang tempoh yang agak lama diambil beliau untuk memberi keterangan, Chow berkata seperti kelaziman pertanyaan dimulai dengan latar belakang beliau dan disusuli tentang bidang kuasanya sebagai Exco.          

Turut dilihat memasuki bangunan SPRM hari ini ialah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus, bekas Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan negeri Danny Law Heng Kiang serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit Lydia Ong Kok Fooi.

Semalam, tiga Exco negeri iaitu Jagdeep Singh Deo, Chong Eng dan Phee Boon Poh hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan juga berhubung projek mega tersebut yang melibatkan anggaran kos keseluruhan RM6.3 bilion.

Pada Jumaat lepas, dua pasukan daripada SPRM mengambil keterangan beberapa petugas di pejabat Timbalan Ketua Menteri II Prof Dr P. Ramasamy dan pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Zairil Khir Johari.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Jeffrey Chew yang ditahan reman selama empat hari mulai 1 Julai oleh SPRM untuk membantu siasatan berhubung projek itu, dibebaskan dengan jaminan SPRM pada Sabtu lepas (4 Julai).      

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »