BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Sukarelawan khidmat bantu di rumah terima bantuan khas RM300 - Rina



BALING, 11 Julai (Bernama)-- Seramai 3,333 sukarelawan Program Khidmat Bantu di Rumah di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menerima bantuan khas sebanyak RM300 seorang.

Menteri berkenaan Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, bantuan secara 'one-off' yang membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1 juta itu adalah sebahagian inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, 5 Jun lepas.

"Peruntukan sebanyak RM1 juta ini akan diagihkan kepada semua sukarelawan di seluruh negara dan kita harap dengan inisiatif ini lebih ramai yang mendaftar sebagai sukarelawan terutama golongan muda.

"Kita mahu ramai yang terlibat dalam program sukarelawan ini kerana mereka boleh menjadi mata dan telinga bagi pihak kementerian terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengunjungi rumah Mek Pah Said di Parit Panjang, dekat sini yang menerima perkhidmatan sukarelawan di bawah Program Khidmat Bantu di Rumah itu.

Program itu adalah perkhidmatan sokongan sosial yang disediakan oleh sukarelawan kepada warga emas dan orang kurang upaya terutama bagi yang tinggal bersendirian atau bersama ahli keluarga di rumah yang kurang penjagaan dan kurang berkemampuan.

Rina berkata menerusi program itu, para sukarelawan akan mengunjungi rumah-rumah yang didiami golongan berkenaan dengan kekerapan empat kali sebulan untuk diberikan sokongan dan bantuan kebajikan yang diperlukan.

Dalam program lawatannya hari ini, Rina turut menyampaikan bantuan khas PENJANA kepada Majlis Pusat Kebajikan SeMalaysia cawangan Kedah berjumlah RM60,600 yang akan diagihkan kepada 202 sukarelawan Program Khidmat Bantu di Rumah di negeri ini.

"Kita berharap kerjasama strategik antara kementerian khususnya JKM dengan badan-badan bukan kerajaan sukarelawan ini dapat diteruskan agar kita dapat membantu golongan yang memerlukan ini secara lebih berkesan lagi," katanya.

-- BERNAMA
Gambar hiasan 
Kredit gambar Facebook Rina Harun

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »