BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

SPRM masih siasat terowong dasar laut

GEORGE TOWN, 3 Julai (Bernama) -- Kertas siasatan projek pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam fasa akhir, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata kertas siasatan itu dijangka lengkap dalam tempoh dua ke tiga minggu sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"SPRM kini dalam fasa akhir siapkan siasatan projek itu di mana kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin...dalam dua atau tiga minggu lagi (siap)," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Azam melakukan lawatan kerja pertamanya sebagai Ketua Pesuruhjaya di pejabat SPRM negeri di sini.

Terdahulu, beberapa pegawai SPRM telah hadir di bangunan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini, untuk mengambil keterangan beberapa petugas di bangunan itu.

Dua pasukan SPRM tiba di tingkat 52, Komtar pada jam 9.35 pagi, yang menempatkan pejabat Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr P. Ramasamy dan dua exco kerajaan negeri, Zairil Khir Johari serta Yeoh Soon Hin.

Rabu lepas, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan kerajaan negeri telah menerima surat daripada SPRM untuk menemu bual beberapa exco dan pemimpin negeri berhubung isu terowong dasar laut itu.

Bekas pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Jeffrey Chew Gim Eam sebelum ini direman selama empat hari bermula 1 Julai lepas bagi membantu siasatan kes tersebut.

-- BERNAMA

 



Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »