BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Peristiwa lantik Speaker baharu berulang...


KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama)-- Hari pertama yang penuh drama - daripada usul pengosongan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, pelantikan baharu jawatan itu dan Timbalan Yang Dipertua sehinggalah kepada isu remeh 'gelap’ dan 'bedak’ - menghangatkan persidangan Dewan Rakyat.

Kehangatan hari pertama itu boleh diibaratkan sebagai 'ribut dalam cawan’ apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin memperoleh kelebihan undi untuk meluluskan usul yang dibawa Perdana Menteri itu.

Usul yang mendapat bantahan daripada pihak pembangkang itu, lulus apabila undi yang dilakukan secara belah bahagian menyaksikan 111 Ahli Parlimen menyokong, 109 tidak sokong manakala seorang tidak hadir dan seorang berkecuali.

Walaupun kelebihan undi itu adalah tipis, ia sudah cukup untuk menunjukkan Muhyiddin mendapat sokongan yang mencukupi kalangan Ahli Parlimen.

Pelantikan Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Speaker turut melakar sejarah negara apabila menjadi wanita pertama yang dilantik untuk menduduki kerusi itu.

Mungkin disebabkan lama tidak 'berdebat’ apabila Dewan Rakyat hanya bersidang sehari pada Mei akibat penularan wabak COVID-19, rata-rata Ahli Parlimen baik di blok pembangkang mahupun kerajaan 'berebut-rebut’ untuk bercakap mempertahankan hujah masing-masing yang memihak kepada blok yang disokong.   

Mungkin juga mahu menguji ketegasan Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua dewan yang baharu menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, ada sahaja perkara yang menjadi 'modal’ untuk mereka bertikam lidah dan menghangatkan suasana, sehingga menyebabkan persidangan dewan ditangguh awal dua jam daripada sepatutnya.

Bagaimanapun, dalam kekecohan yang turut menyaksikan Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) diarah keluar dewan sehingga tamat persidangan hari pertama itu, persidangan dewan meluluskan usul pelantikan enam Ahli Jawatankuasa Pemilih bagi tempoh Parlimen ke-14.  

Mereka terdiri daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Persidangan dalam situasi negara yang masih belum bebas daripada pandemik COVID-19 itu juga menyaksikan kebiasaan baharu dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat, antaranya tempat duduk Ahli Parlimen disusun dengan jarak satu meter iaitu mengambil kira jarakan sosial, menyebabkan ada kalangan wakil rakyat yang terpaksa duduk di tempat duduk pegawai.

Bagaimanapun, ribut hanya sehari dan ketegasan serta keadilan Azhar serta Timbalan Yang Dipertua dewan yang baharu Azalina dalam membuat keputusan ketika mengendalikan persidangan pada hari-hari seterusnya berjaya 'menarik’ sokongan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang dan penyokong kerajaan.

“… ini apabila ada Speaker pandai senang,” kata Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) apabila Azhar membuat keputusan yang memihak kepada beliau ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada Khamis. 

Selain kekecohan hari pertama, urusan mesyuarat lancar pada hari-hari berikutnya walaupun isu-isu seperti 'kerajaan pintu belakang’, ‘kerajaan tebuk atap’ dan 'kerajaan pintu istana’ sentiasa ditimbulkan dalam kebanyakan perbahasan kalangan wakil rakyat pembangkang, yang pastinya mendapat bantahan dan tentangan blok kerajaan.  

Turut menjadi tumpuan dalam empat hari pertama sidang dewan ialah isu kewarganegaraan untuk anak-anak tanpa kad pengenalan terutama di Sabah dan Sarawak; pindaan Akta Pengangkutan Jalan untuk membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol yang menyebabkan kemalangan jalan raya; Pilihan Raya Umum Ke-15; serta status kewangan Lembaga Tabung Haji (TH).

Turut disentuh ialah sama ada terdapat keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15.

Isnin ini persidangan Dewan Rakyat akan bersambung dengan Ahli Parlimen meneruskan perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »