BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Pengusaha rumah inap desa ditahan disyaki rasuah pegawai PBT


JOHOR BAHRU, 13 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang, menahan seorang pengusaha rumah inap, hari ini, kerana disyaki memberi wang rasuah kepada Pembantu Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK).

Menurut sumber, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Kluang, kira-kira pukul 4 petang sewaktu hadir memberikan keterangan mengenai kes terbabit.

Penahanannya itu adalah untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Kata sumber itu lagi, suspek didakwa memberikan rasuah berjumlah RM3,000 kepada Pembantu Penguatkuasa MPK itu sebagai dorongan untuk membatalkan tiga kompaun MPK bagi kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan MPK dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Kesalahan terbabit adalah berkaitan mempamerkan iklan tanpa lesen MPK, mendirikan struktur bangunan tanpa kebenaran MPK dan menjadikan tanah pertanian selain daripada maksud asal.
 
Keseluruhan kompaun yang dikenakan pula ialah sebanyak RM2,500.

Menurut sumber itu lagi, wang rasuah itu juga sebagai dorongan supaya MPK tidak mengganggu premis perniagaan suspek pada masa hadapan.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »