BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

PDA 1974 tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan, SPG

KUCHING 3 Julai: Pemimpin masyarakat Orang Ulu, Temenggong Oyong Lawai Jau pernah menganalogikan Malaya kebun besar buah-buahan yang telah tumbuh subur, buahnya masak ranum dan sedia untuk dipetik.

Kebun berkenaan dipagar dengan baik dan kukuh menggunakan belian.

Sarawak pula ketika itu, hanya kebun kecil, pokoknya baru ditanam, belum lagi matang dan pagar pun goyah kerana diperbuat daripada buluh.

Beliau menambah, apa yang terjadi kepada pokok-pokok kecil itu jika ditanam di bawah pokok yang besar, ia tidak akan berbuah.

Oyong merujuk kepada keadaan Sarawak yang belum bersedia membentuk gagasan Malaysia seperti yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman sebagaimana dipetik Michael Leigh dalam artikel The Selling of Malaysia yang disiarkan di New Straits Times 2014.

“Tanpa pengetahuan beliau pada 1962, orang kebun besar sudah memerhatikan kekayaan sumber asli hulu Baram, selain limpahan minyak dan gas di perairan Tengah Luconia untuk poket ‘temenggong’ dari Malaya,” dedah Unit Media Komunikasi Kumpulan Petroleum Sarawak (SPG)dalam satu kenyataan semalam.

Sehingga ke hari ini, Sarawak terus dibayangi pokok-pokok besar manakala sumber aslinya terus ‘dipetik’ tanpa pembahagian yang adil kepada tuan punya kebun.

Dalam erti kata lain, perkongsian kekayaan melimpah ruah ini secara prinsipnya tidak pernah diselesaikan secara telus sejak pembentukan Malaysia pada 1963.

SPG dalam kenyataan mendesak agar perjuangan untuk mendapatkan hak ke atas minyak dan gas dilakukan secara telus.

“Dengan perkembangan terkini minyak dan gas, ahli-ahli SPG terpanggil untuk memberi maklumbalas, be transparent in the fight for our rights! Kami mahu perjuangan mendapatkan hak ke atas minyak dan gas dilakukan secara telus,” kata kenyataan itu.

Gesaan ini bukan pertama kali memandangkan SPG pernah membincangkan perkara ini ke forum awam di Kuching bertajuk 
‘Fight for your Rights, Fight it Right’ Februari tahun ini.

Turut dibentangkan kertas kerja bertajuk ‘History of Oil & Gas in Sarawak’ dan taklimat pengalaman suka duka (lebih banyak berduka) dalam memperjuang hak ke atas sumber minyak dan gas.

Sebelum itu pada 2015, SPG pertama kali turut membentangkan kertas kerja ‘Sharing of Resources – Universal Principles of Resource Sharing’ kepada Menteri Pembangunan Industri Sarawak.

“Kami menegaskan bahawa Akta Pembangunan Minyak (PDA 1974) tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.”

“Pandangan ini pernah dianggap melampau sebelum hujah diterima dan diguna dalam rundingan, memperbaiki atau menyemak semula kawalan dan tadbir urus sumber-sumber dan hasil minyak dan gas, mungkin kembali ke Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

SPG turut menggesa isu berkaitan pemilikan, kuasa dan pendapatan sumber minyak dan gas (OAR) dikendalikan secara komprehensif bagi memastikan ketelusan dalam mengembalikan hak-hak negeri ini ke atas sumber minyak dan gas.

Katanya, peruntukan perlembagaan berkaitan pemilikan sumber asli harus jelas bukan hanya mematuhi aspirasi pihak berkepentingan domestik malah memberi keyakinan kepada komuniti antarabangsa dan pelabur.

Namun, pemilikan kerap disalah faham atau disalah anggap - secara sengaja atau sebaliknya, dengan isu berkaitan pengurusan, kawalan dan pembahagian pendapatan sumber asli.

“Jika cuai, kita mungkin kehilangan pemilikan selama-lamanya sebagai imbalan atas pendapatan tambahan yang diperuntukkan.”

”Sedikit demi sedikit, hanya 'dengan beberapa dolar lagi', perbezaan antara puluhan bilion hingga ratusan bilion ringgit, seperti yang telah kita saksikan di depan mata kita sendiri dalam tempoh 46 tahun.”

SPG menambah, isu pembahagian hasil pendapatan minyak dan gas dan sumber asli yang lain adalah cabaran utama terhadap kestabilan ekonomi dan politik.

Lazimnya perkara ini dikendalikan oleh pihak berkuasa untuk mengurus dan membangunkan sumber minyak dan gas (contoh syarikat minyak nasional)

Namun ia boleh diambil-alih oleh mekanisme berasingan bersesuaian dengan prinsip ‘pembahagian kekayaan’ yang dipersetujui.

Keprihatinan utama ialah memastikan proses pengumpulan dan pembahagian kekayaan yang adil dan telus.

“Harus wujud keperluan untuk perbincangan secara holistik dan telus mengenai kerangka OAR, bukan untuk kepentingan politik atau penipuan.”

“Kita tidak dapat memulakan ini dari kedudukan ketidaksamaan. Prinsip pembahagian kekayaan negara mesti dibentuk dengan jelas secara adil dan lestari dan diketahui dan diterima oleh semua pihak.”

Harus diakui bahawa setiap negeri di Persekutuan mempunyai hak mutlak ke atas sumber semulajadi dan pendapatan negeri masing-masing.

Justeru semua pihak berkepentingan, sama ada ahli politik, teknokrat, ahli perniagaan atau rakyat mesti bersikap terbuka dan tidak menggunakan ‘pintu belakang’.

“Sarawak kini dalam kedudukan untuk membuat dan mewujudkan kesepakatan baru untuk mengurus dan menikmati hasil minyak dan gas, demi masa depan generasi rakyat Sarawak.”

“Tidak kisahlah jika ia memerlukan kajian dan penilaian semula termasuk pemansuhan PDA 1974, Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PCS) atau Petronas sendiri,” kata SPG.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »