BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Parti liar: Polis tahan 21 individu


KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Sebelas rakyat asing adalah antara 21 individu yang ditahan dalam serbuan polis ke atas parti liar di sebuah unit kondominium di Jalan Klang Lama, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata mereka yang ditahan dalam serbuan kira-kira 1.30 pagi itu, berumur dalam lingkungan 20 hingga 39 tahun.

“Kami berjaya menahan 11 lelaki dan 10 wanita dalam serbuan itu. Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai menjadi penganjur parti liar itu.

“Warga asing yang ditahan itu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita Bangladesh; masing-masing seorang lelaki dan wanita Brazil; masing-masing seorang lelaki Syria dan Libya; serta seorang wanita Filipina, Mesir dan Zimbabwe,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zairulnizam berkata polis turut merampas dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 0.5 gram yang dipercayai dibekalkan seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Gordon.

“Peserta parti liar ini dijemput melalui aplikasi WhatsApp dan tiada sebarang bayaran dikenakan.

“Saringan air kencing mendapati sembilan daripada yang ditahan itu positif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata mereka yang positif dadah direman tiga hari bermula semalam di Lokap Berpusat Jinjang, di sini.

Kesemua rakyat Malaysia yang ditahan dikenakan kompaun RM1,000 mengikut peraturan 11, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan berjangkit) (2) 2020 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »