BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Lawas dapat RM2 juta, Dr Latiff


LAWAS, 4 Julai (Bernama) -- Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk membina pelbagai prasarana di sekitar Parlimen Lawas sebelum mengakhiri lawatan kerja tiga hari beliau ke Sarawak hari ini.


Beliau bersama timbalannya, Datuk Henry Sum Agong serta Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dr Abdul Rahman Ismail telah meninjau tapak Jalan Perhubungan Desa (JPD) dan Jalan Luar Bandar (JALB) di Parlimen itu. 

Beliau turut meluluskan projek prasarana yang melibatkan pembinaan JPD dari Sekolah Kebangsaan Long Tukon dan Kg Long Kachu di Lawas yang bernilai RM500,000.

“Jalan perhubungan desa sepanjang 600 meter ini akan dibina dengan mengambil kira masalah banjir yang berlaku di sepanjang laluan ini sebelum ini serta memudahkan akses penduduk kampung bagi menghantar anak mereka ke Sekolah Long Tukon,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Semalam, beliau melihat sendiri keperluan pembinaan titi di Kampung Perpindahan Awat Awat bersama Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Dr Abd Latiff berkata peruntukan sebanyak RM400,000 telah diluluskan bagi memenuhi keperluan itu selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan terbabit.

Kementeriannya turut meluluskan pembinaan 10 rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan kos bina baharu berjumlah RM600,000.

“Bagaimanapun, projek membabitkan JALB melibatkan kos RM125.5 juta dari Kampung Murud Suang ke Long Tengoa, Lawas, Sarawak sepanjang 20 kilometer akan dipertimbangkan bagi kelulusan pihak kerajaan pusat,” katanya.

Beliau berkata akses perhubungan fizikal dan Internet adalah penting untuk menjadi ‘game changer’ kepada penduduk di luar bandar.

Dr Abdul Latif berkata kementeriannya akan terus memacu ekonomi di kawasan luar bandar dengan membina prasarana yang diperlukan masyarakat setempat untuk mengurangkan jurang pembangunan dengan masyarakat bandar selain menaik taraf sosioekonomi golongan B40 menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

-- BERNAMA

Kredit gambar KPLB

 



Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »