BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

KPDNHEP Kedah rampas lebih 122,000 kg baja bersubsidi diseleweng


BUKIT KAYU HITAM, 9 Julai (Bernama)-- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah merampas 122,060 kilogram (kg) baja bersubsidi bernilai lebih RM133,000 yang dipercayai diselewengkan dalam serbuan ke atas sebuah gudang di Kampung Kubang Jelai, dekat Pendang semalam.

Pengarahnya Rae Morn Verak berkata dalam serbuan kira-kira 12 tengah hari itu, tiga lelaki iaitu pemilik gudang dan dua pekerjanya ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan baja bersubsidi.

“Serbuan itu susulan risikan selama dua minggu dan pemeriksaan di gudang berkenaan menemukan 675 beg baja sebatian dengan berat 20 kg dan 25 kg setiap satu, serta 4,783 beg baja urea bersubsidi seberat 20 kg dan 50 kg.

“Modus operandi mereka ialah membeli lebihan baja bersubsidi daripada petani di sekitar kawasan itu sebelum dibungkus semula dan dijual di sekitar kawasan Pendang dan daerah-daerah lain di negeri ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Rae Morn berkata suspek dipercayai membeli baja urea dan baja sebatian bersubsidi terbabit pada harga RM20 satu beg yang kemudian dibungkus semula dan dijual pada harga RM100 bagi beg seberat 50 kg.

“Siasatan juga menjurus untuk mengenal pasti dari mana baja (bersubsidi) ini diperolehi dalam jumlah yang banyak,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala bagi pertubuhan atau perbadanan boleh didenda tidak lebih RM2 juta, jika sabit kesalahan.

“Saya menasihatkan petani agar tidak menyalahgunakan barangan bersubsidi yang diterima kerana jika berlaku penyelewengan, petani juga boleh diambil tindakan dan kita sedang memantau kegiatan ini,” katanya.

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »