BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Kerajaan mahu atasi jurang digital di Sabah, Sarawak


KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama)-- Kerajaan sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar di seluruh negara, sekaligus mengurangkan perbezaan jurang digital di antara kawasan bandar dan luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak. 

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata kementerian kini mengadakan sesi perancangan bersama pihak industri melalui Makmal Infrastruktur Digital Negara (Makmal) yang bermula 13 Julai hingga 14 Ogos ini, diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), untuk memantapkan kualiti dan liputan perkhidmatan di seluruh negara.

Beliau berkata di Sabah misalnya, sekurang-kurangnya 115 menara telekomunikasi baharu yang merangkumi perkhidmatan jalur lebar akan dibina di bawah inisiatif penyediaan perkhidmatan selular awam. 

"Selain itu, sebanyak 10 stesen pemancar 4G baharu serta 266 penaiktarafan telah dilaksanakan secara komersial oleh pihak pemberi perkhidmatan di Sabah yang telah siap dan beroperasi pada tahun ini.

"Di samping itu, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar talian tetap, inisiatif penaiktarafan perkhidmatan berasaskan tembaga kepada rangkaian gentian optik akan dilaksanakan dan sebanyak 43,879 pelanggan di Sabah akan dinaik taraf dalam tempoh dua tahun ini," katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik menerusi laman sesawang rasmi Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang bertanyakan langkah yang telah, sedang dan akan diambil untuk memastikan capaian Internet dengan kelajuan tinggi di Sabah akan tersebar luas terutama dengan penggunaan gentian optik dan bilakah Sabah akan mendapat lebih banyak spektrum supaya lebih banyak saluran radio boleh diwujudkan.

Berhubung spektrum saluran radio, Saifuddin berkata kajian perancangan semula jalur frekuensi 87.5 MHz sehingga 108 MHz untuk perkhidmatan penyiaran radio FM sedang dijalankan oleh SKMM dan dijangka selesai pada suku keempat tahun ini.

“Oleh itu pelaksanaan perancangan semula spektrum termasuk kemungkinan penambahan saluran untuk perkhidmatan penyiaran radio FM adalah tertakluk kepada hasil kajian tersebut," katanya. 

Sementara itu di Sarawak, Saifuddin berkata SKMM akan bekerjasama dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dari segi perancangan dan memudah cara proses kelulusan pembinaan untuk mempercepat pembinaan infrastruktur digital bagi menambah baik liputan dan kualiti jalur lebar di negeri itu. 

Katanya ini merupakan antara persetujuan penting dicapai dalam sesi kunjungan hormat beliau ke atas Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) pada 10 Julai lalu. 

"Penambahbaikan liputan jalur lebar melalui Makmal Infrastruktur Digital Negara juga akan turut dihadiri oleh pegawai kanan SMA untuk menangani keperluan di Sarawak," katanya, juga dalam jawapan bertulis yang dimuat naik menerusi laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Wilson Ugak Kumbong (GPS-Hulu Rajang) yang bertanyakan sekiranya KKMM bercadang membekalkan menara telekomunikasi di rumah panjang (Rh) Melintang, Sg Gaat, Rh Mengga Sepulau Gaat/ Sk. Nanga Balang Sg. Gaat, Punan Biau/ Punan Sama Belaga, Nanga Merirai Baleh Kapit dan Sk Nanga Kain Baleh Kapit.

Saifuddin berkata kawasan-kawasan yang tiada atau kurang liputan termasuklah yang disebutkan oleh Ugak akan dimasukkan dalam perancangan SKMM dalam masa terdekat (2021-2022). 

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »