BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Kerajaan bakal laksana program semangat patriotisme


KOTA BHARU, 18 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan memperkenalkan satu program baharu yang bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam diri rakyat, bagi menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN), yang dimansuhkan kerajaan terdahulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, struktur baharu bagi program berkenaan sedang dimuktamadkan, dan akan dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat.
“Kita (kerajaan) sedang memuktamadkan struktur itu sendiri. Adakah kita nak wajibkan (seperti PLKN) ataupun kita ambil wakil dari setiap institusi (seperti pelajar, wakil rakyat dan sebagainya). Kita belum muktamadkan sukatan latihan itu sendiri dan siapakah yang wajib ataupun yang digalakkan hadir ke program ini.

“Harapan saya pengisian bagi program baharu ini dapat dibentangkan sebelum Dewan Rakyat berakhir, supaya kita boleh jawab apa yang dibangkitkan di Parlimen baru-baru ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Amanat Bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Zon 5 (Kelantan, Terengganu dan Pahang), yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan 12 pegawai APM menerima Anugerah Penkhidmatan Cemerlang (APC) 2019 dan 14 orang menerima watikah pelantikan Pegawai Kehormat dan Bersekutu APM.
 
Ditanya adakah program baharu berkenaan akan menyerupai program yang dilaksanakan BTN, Mohd Redzuan berkata, program baharu tersebut akan menggabungkan sukatan dan latihan yang diterapkan di dalam PLKN dan BTN, membabitkan modul patriotisme, Perlembagaan, kenegaraan dan penyatuan kaum.

“Kita lebih kepada membina semangat patriotisme, lebih kepada mahu mewujudkan satu bangsa yang bersatu padu di negara kita ini, menerusi Perlembagaan dan Rukun Negara,” katanya.

Sebelum ini Datuk Seri Ahmad Maslan (PN-Pontian) ketika berucap di Parlimen, memohon agar kerajaan menghidupkan kembali program dan agensi kerajaan yang dimansuhkan kerajaan terdahulu, seperti PLKN, BTN dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).
-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »