BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Kami dengar dan cuba selesaikan masalah rakyat, Abang Jo

SEBUYAU: Sarawak berbelanja besar untuk membina benteng untuk menghalang air masin daripada merosakkan tanaman penduduk di kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan sehingga ke Sebuyau.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata peruntukan sebanyak RM500 juta telah disediakan untuk projek tersebut.


Menurutnya, projek berkenaan bakal menyelesaikan masalah pertanian di kawasan berkenaan. 

"Apabila projek benteng dibangunkan dari Asajaya sehingga ke Sebuyau ia mampu menyelesaikan masalah pertanian kawasan Kota Samarahan," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran dan lawatan ke projek bekalan air Bahagian Samarahan di Ferry Ramp Lama Seruyuk. 

Abang Johari berkata, untuk mempastikan pembangunan itu seimbang, sistem jalan raya akan dinaik taraf selain menyediakan pusat pengumpulan hasil yang moden untuk tujuan eksport.

Beliau berkata, masalah bekalan air bersih terawat di kawasan Kota Samarahan hingga Simunjan dan Sebuyau akan diselesaikan tidak lama lagi.


Projek menaik taraf bekalan air bersih di bahagian Samarahan dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2021.

Beliau berkata projek yang bernilai lebih RM500 juta dan dilaksanakan sejak 2017 itu dijangka dapat menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang dihadapi penduduk di sekitar kawasan Simunjan, seberang Sungai Batang Samarahan dan Sebuyau.

“Tiga tahun lalu, kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan khas untuk menaik taraf bekalan air di kawasan ini dan kini saluran paip sedang dibina dari Kuching terus ke kawasan Simunjan, Gedong hingga ke Sebuyau,” katanya. 

Beliau berkata pelaksanaan projek itu juga dapat merancakkan lagi sektor ekonomi di Samarahan khususnya dari sudut pertanian yang memerlukan sumber air mencukupi.

“Antara tanaman yang diusahakan di sini ialah penanaman pokok kelapa, nanas dan pisang. Jadi, dengan semua kemudahan yang bakal dinikmati di kawasan ini, pastinya sektor itu akan terus berkembang,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata selain sumber air yang cukup, kerajaan negeri juga akan menaik taraf sistem jalan raya bermula dari Samarahan sehingga ke jalan raya pesisir pantai.

“Saluran paip kita diselarikan dengan jalan raya, apabila dinaik taraf kelak, pastinya itu akan meningkatkan sistem pengangkutan di kawasan ini.

“Selain itu, pembinaan benteng konkrit untuk menghalang air masin (laut) juga sangat diperlukan di sini kerana ia akan menjejaskan pelbagai tanaman. Jadi, kita akan bina benteng dari Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan, dan Sebuyau,” katanya berharap semua projek tersebut akan dapat disiapkan pada akhir 2021.


Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »