BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Hospital Kapit masih dirangka, Aaron


KAPIT, 4 Julai (Bernama) -- Satu rancangan jangka panjang untuk membina hospital baharu di Kapit bagi memenuhi keperluan kesihatan yang meningkat di kawasan itu sedang dirangka, kata Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata satu tapak yang sesuai telah dikenal pasti untuk pembinaan hospital baharu itu namun, banyak perkara yang perlu dilakukan untuk perolehan tanah berkenaan.

“Ini satu rancangan jangka masa panjang untuk Bahagian Kapit dan masih lagi di peringkat cadangan, belum ada pelan tindakan, namun tapaknya telah dikenal pasti iaitu di atas tanah milik kerajaan Persekutuan...kita harap kita akan dapat tanah tersebut,” katanya kepada pemberita ketika melawat Klinik Kesihatan Kapit di sini hari ini.

Tapak yang dimaksudkan itu adalah bekas lapangan terbang Kapit yang dilihat lokasi amat sesuai dan strategik untuk pembinaan hospital baharu itu dan Kementerian Kesihatan perlu berhubung dengan banyak pihak seperti Kementerian Pengangkutan untuk mendapatkan tanah itu.

Beliau berkata penduduk Kapit kini adalah seramai 120,000 orang dan dijangka meningkat dalam tempoh tiga ke empat tahun lagi, justeru, Hospital Kapit tidak mampu menampung jumlah pesakit yang ramai kerana hanya mempunyai kapasiti sebanyak 134 katil sahaja.

Hospital berkenaan yang menjadi hospital rujukan pesakit-pesakit dari daerah Song, Kapit, Bukit Mambong, Belaga, Nanga Merit dan juga Sungai Asap turut menghadapi masalah kekurangan kakitangan kesihatan dan masalah lain seperti tempat letak kereta dan kuarters kediaman yang terlalu usang.

-- BERNAMA

 



Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »