BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

APMM kesan sindiket jual alat mengebom ikan di Sabah



KOTA KINABALU, 10 Julai (Bernama)-- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan masih terdapat sindiket dari negara jiran, yang membawa masuk alat mengebom ikan sebelum dijual kepada nelayan asing di negeri ini.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, hasil maklumat risikan APMM mendapati bahan berkenaan iaitu fius, dibeli dari negara jiran sebelum dijual dan dipasarkan kepada individu yang menangkap ikan.

“Sindiket ini membawa masuk bahan‐bahan letupan (fius) sebelum dijual kepada nelayan warga asing atau bajau laut, yang biasanya terlibat dalam aktiviti bom ikan di perairan Sabah.

“Individu (terlibat dalam sindiket) ini ada yang sudah ditangkap dan telah ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, tetapi masih ada lagi aktiviti bom ikan, kerana ada permintaan terhadap bahan itu,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Mohd Rosli juga tidak menolak kemungkinan fius yang digunakan untuk mengebom ikan juga boleh diperoleh di pasaran tempatan, memandangkan kos keseluruhan untuk menghasilkan bom ikan hanya sekitar RM20.

Beliau berkata selain fius, bahan lain yang digunakan untuk menghasilkan bom ikan termasuk botol dan baja (ammonia).

Katanya, tahun ini setakat Mei lalu APMM merekodkan sebanyak sembilan kes melibatkan aktiviti bom ikan, manakala 10 kes direkodkan pada tahun lepas.

Jelasnya, dalam usaha membenteras aktiviti mengebom ikan, kerjasama daripada masyarakat amat penting dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa khususnya APMM.

“Dalam rondaan rutin, biasanya APMM hanya berdepan dengan kes-kes bot nelayan menangkap ikan di kawasan yang mereka tidak dibenarkan beroperasi, berdasarkan kelas lesen yang dimiliki.

“Tetapi semasa operasi dijalankan, mereka (nelayan) yang melakukan aktiviti bom ikan biasanya akan melarikan diri, apabila dihampiri bot APMM dan meninggalkan bot mereka,” katanya sambil menambah antara kawasan tumpuan aktiviti mengebom ikan ialah di Pulau Gaya selain Pulau Mantanani di Kota Belud.

Baru-baru ini, media melaporkan  berlakunya aktiviti mengebom ikan di Pulau Mantanani di perairan Kota Belud yang menyebabkan beberapa penyelam merasai letupan dan getaran yang kuat semasa berada di dalam air yang boleh meragut nyawa penyelam berkenaan.

Pada Mac tahun lalu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong dilaporkan berkata kementerian itu akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk menyekat pembekalan dan pembelian bahan membuat bom ikan.

Mohd Rosli berkata, kesan daripada aktiviti bom ikan bukan hanya boleh menyebabkan kehilangan nyawa, tetapi juga memusnahkan terumbu batu karang dan spesis hidupan marin yang lain.

Dalam pada itu Mohd Rosli berkata, APMM turut memperkenalkan baju seragam baharu pasukan itu yang telah mula dipakai di Sabah dan Sarawak bermula pada minggu lalu.

Beliau berkata keistimewaan baju bertindak baru itu ialah pangkat pegawai APMM terletak di bahagian kolar baju berbanding sebelum ini di bahu, manakala  bagi anggota lain kekal di bahagian lengan baju.

“Jika berada di laut pangkat itu akan tertutup dengan baju keselamatan yang dipakai atau baju kalis peluru ketika dalam operasi. Jika di kolar ia lebih mudah dilihat bagi menunjukkan pangkat seseorang anggota itu yang berkuasa untuk menjalankan operasi,” katanya.

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »