BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Anggota polis jaga sempadan negara ditukar sebulan sekali - Ketua Polis Negara


KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama)-- Anggota keselamatan di sempadan negara yang bersekongkol dan mengambil rasuah daripada sindiket penyeludupan pendatang asing adalah pengkhianat kepada negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata perbuatan menerima bayaran oleh mereka yang diberi tanggungjawab mengawal keselamatan itu membolehkan ribuan pendatang tanpa izin membolosi sempadan negara.

“Saya menganggap perbuatan menerima rasuah dari sindiket tekong oleh mana-mana pihak berkuasa yang menjaga sempadan sebagai perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan ia adalah satu pengkhianatan terhadap negara,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini.

Beliau berkata walaupun terdapat penggiliran tugas sebulan sekali di kalangan pegawai dan anggota polis di sempadan, ia kurang berkesan dalam membanteras kejadian rasuah yang membolehkan kemasukan pendatang tanpa izin.

Pegawai dan anggota polis di sempadan ditukar sebulan sekali, namun setelah bertahun penggiliran itu akan berputar kepada satu pasukan yang sering ditugaskan menjaga sempadan.

“Setelah itu, berlaku kealpaan yang mengambil sikap sambil lewa (menjaga sempadan negara) dan ahli-ahli sindiket yang berjaya menjalinkan hubungan dengan beberapa pihak berkuasa, maka berlakunya perbuatan mengambil rasuah, dari segi duit bayaran tertentu, sama ada secara bulanan atau mengikut kepala atau mengikut ‘trip’,“ katanya.

Mengulas mengenai Op Benteng COVID-19, Abdul Hamid berkata sehingga kini 80 orang telah didakwa kerana terlibat dalam kegiatan penyeludupan pendatang asing dengan 22 kertas siasatan dibuka, dan 11 lagi individu yang menjadi dalang sindiket itu sedang diburu.

Sementara itu, mengenai penggunaan kapal induk untuk membawa pendatang tanpa izin, Abdul Hamid berkata taktik itu menyukarkan pihak berkuasa untuk mendekati mereka yang berlabuh di tengah laut kerana berhampiran perairan negara jiran serta perairan antarabangsa. 

“Mereka ini menggunakan kapal-kapal induk yang diisikan dengan ratusan orang dan berlabuh di tengah laut, dan ada sindiket yang membekalkan mereka dengan makanan setiap hari,” katanya.

Bulan lepas, Bernama melaporkan seramai 269 pendatang tanpa izin membolosi perairan negara dengan sengaja membocorkan dan merosakkan enjin kapal, untuk mengelak daripada diusir pihak berkuasa ketika berada di dalam perairan Malaysia. 

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »