BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

AADK tubuh jawatankuasa khas tangani penyeludupan dadah di sempadan


KOTA BHARU, 13 Julai (Bernama)-- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menubuhkan satu jawatankuasa khas membabitkan 14 agensi yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan dalam usaha menghapuskan penyeludupan dadah dari negara jiran ke Malaysia terutama di kawasan Pantai Timur.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata tindakan drastik itu diambil berikutan pihaknya mendapati terdapat lebih 90 peratus dadah terutama pil kuda yang dirampas datangnya dari negara jiran di negeri ini.

"Walaupun ada beberapa agensi yang terlibat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Wawasan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Op Merpati namun barangan terlarang masih juga ada.

"Perbincangan hari ini bersetuju untuk menggabungkan 14 agensi kawalan sempadan membabitkan keanggotaan dan logistik bagi membantu menghalang penyeludupan dadah ke dalam negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Bagi Membincangkan Isu-isu Penyeludupan Dadah di Negeri-negeri Pantai Timur di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata selain pasukan keselamatan, jawatankuasa tersebut turut dianggotai kakitangan daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyantuni masyarakat yang tinggal di kawasan sempadan negara.

Beliau berkata kedua-dua agensi ini akan dipertanggungjawabkan untuk lebih memahami keadaan masyarakat di sana sekali gus mampu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam usaha bersama memerangi dadah.

Katanya, jika konsep ini berjaya dilakukan di Pantai Timur, AADK akan memperluaskan lagi strategi berkenaan ke kawasan-kawasan lain seperti di utara, pantai barat serta Sabah dan Sarawak.

"Walaupun ada rampasan dadah dalam jumlah yang besar, namun pengedar juga sentiasa menukar strategi dan menjualnya secara runcit kepada penagih dadah.

"Malah, mereka juga dikesan menggunakan khidmat kiriman pos dan berselindung di sebalik penghantar makanan untuk menghantar bekalan dadah yang dipesan oleh penagih terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini," katanya.

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »