BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

UNIMAS benarkan penuntut balik ke kampus berperingkat mulai 1 Julai

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) membenarkan beberapa kategori penuntut untuk kembali ke kampus secara berperingkat bermula 1 Julai sebagai salah satu pendekatan untuk memastikan pembelajaran mereka tidak terjejas.

Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi memberitahu penuntut yang dibenarkan untuk kembali ke kampus bagi melengkapkan baki Semester 2 Sesi 2019/2020 adalah pelajar siswazah dan tahun akhir yang perlu menjalankan kerja-kerja makmal/klinikal/bengkel/studio serta penuntut yang perlu menghabiskan latihan industri di kampus. 

Beliau berkata, UNIMAS juga bercadang untuk membenarkan penuntut selain daripada penuntut tahun akhir yang mempunyai masalah internet dan tiada peranti di rumah, serta keperluan badan profesional kembali ke kampus untuk membolehkan mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara atas talian dengan menggunakan kemudahan universiti. 

"Bagaimanapun, ia tertakluk kepada kebenaran yang diberikan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi. 

“Jika diluluskan, UNIMAS akan memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi terutama yang berkaitan dengan jumlah penuntut tidak melebihi 25 peratus di dalam kampus, dan penggunaan kemudahan makmal/bengkel/studio tidak melebihi 50 peratus dari kapasiti sebenar,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya,UNIMAS juga akan memastikan penuntut menggunakan makmal/klinikal/bengkel/studio secara bergilir dan akan memantau keberadaan mereka dengan menggunakan aplikasi “We Care” iaitu sistem atas talian secara “real time” semasa check in dan check out.

"Selain itu, penuntut baharu Semester 1 akan dibenarkan datang ke kampus secara berperingkat, bermula Ogos bagi pelajar Pra Universiti dan seterusnya Oktober bagi penuntut baharu Prasiswazah,"ujarnya.

Beliau memaklumkan bahawa kaedah PdP UNIMAS menggunakan platform atas talian sepenuhnya kecuali penuntut klinikal dan bukan klinikal yang memerlukan pengajian secara bersemuka.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »