BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Thailand selamatkan gajah lapar dan "menganggur"



Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 23 Jun (Bernama) -- Di bawah terik matahari, kelihatan dua gajah betina, Gai Na dan To-Me bersiar-siar di tebing sungai di Elephants World di barat wilayah Kanchanaburi.

Gai Na berumur 60 tahun dan To-Me 56 tahun bermain-main dan mandi di sungai itu, sambil diperhatikan pengembala gajah Ehdar, 24, yang duduk di bawah pokok.

"Seronok melihat mereka bebas bermain. Mereka menjalani kehidupan yang lebih tenang di sini berbanding haiwan yang ada dikandang,” katanya kepada Bernama.

Elephants World, terletak kira-kira 200 kilomter dari Bangkok, menyediakan penempatan dan makanan untuk sebilangan kecil gajah tempatan yang tua dan cedera.

Gai Na dan To-Me bernasib baik berbanding gajah lain yang terpaksa melalui kehidupan di kandang, taman hiburan atau tempat perlindungan, ada yang kelaparan akibat pandemik COVID-19.

Wabak itu menyebabkan industri pelancongan di seluruh dunia terjejas, jutaan orang kehilangan pekerjaan termasuk gajah di Thailand yang bergantung hidup kepada pelancong, sementara beberapa pengusaha kandang merancang menghentikan operasi dan ada yang terpaksa menjual gajah mereka.

Larangan perjalanan dan penutupan kem gajah untuk membendung penularan COVID-19 pada pertengahan Mac lalu, memaksa pengusaha menjual gajah mereka dan pengembala terpaksa bergelut untuk menyediakan makanan.

Kira-kira 1,000 gajah dan pengembala hilang pekerjaan.

Di Chiang Mai sahaja, lebih 100 gajah dan pengembala menganggur, terpaksa pulang ke kampung halaman di daerah Mae Chaem di utara Thailand, didiami oleh kumpulan etnik Karen-an, yang memelihara gajah sejak turun-temurun.

Dianggarkan 4,400 gajah tawanan di Thailand dan lebih separuh bekerja di industri pelancongan dengan menawarkan khidmat menunggang dan melakukan aksi di kem komersial.

Pengasasnya Samat Prasitpon, berkata akibat sekatan perjalanan udara di seluruh dunia, Elephants World terjejas apabila kehadiran pelancong merudum pada akhir Januari sebelum ia ditutup pertengahan Mac.

"Berikutan tiada pengunjung, kami berdepan situasi sukar untuk menampung kos perbelanjaan. Kami terpaksa memberhentikan kira-kira 50 peratus pekerja.

"Purata makanan seekor gajah setiap hari ialah 300 kilogram yang kosnya sebulan sekitar US$900,” katanya.

Namun, Samat sedikit lega apabila Elephants World membuka semula pintu kepada pengunjung pada 5 Jun.

Dengan ketiadaan pelancong antarabangsa, beliau berharap penderma menghulurkan bantuan bagi membolehkan kem itu menyediakan keperluan asas.

Hari ini, Elephants World mempunyai 22 ekor gajah sakit, cacat dan serta yang didera. Sebilangan besar gajah dijual dari kem menunggang dan sarkas, dengan harga kira-kira 100,000 baht.

Pengasas Save Elephant Foundation (SEF) di wilayah utara Chiang Mai, Sangdeaun ‘Lek’ Chailert, turut berdepan cabaran untuk meyediakan makanan kepada gajah yang kelaparan selain membantu memindahkan haiwan itu keluar dari kem menunggang gajah, sarkas dan "tempat perlindungan".

Wabak COVID-19 menyaksikan lebih banyak kem menunggang gajah ditutup, sementara pengusaha mencari jalan untuk menjual gajah mereka bagi memastikan kelangsungan hidup haiwan itu. 

Lek Chailert berkata terdapat beberapa kem bertindak kasar semasa melatih gajah untuk membuat persembahan, termasuk mengurung anak gajah serta  memisahkan mereka daripada ibu. 

Sebelum wabak COVID-19, aktivis haiwan itu bekerjasama rapat dengan pemilik kem gajah dan pengembala mencari cara untuk memberi makan kepada haiwan tanpa bergantung pada persembahan atau aktiviti menunggang, pada masa sama mengubah kem menjadi tempat perlindungan dengan penjagaan gajah yang beretika.

Beliau juga sedang berusaha membuat perubahan untuk mewujudkan kem gajah yang beretika dan menjadikan ia sebagai tempat perlindungan yang mengutamakan kesejahteraan gajah.

SEF, badan bukan kerajaan, bukan berdasarkan keuntungan, memberi bantuan penjagaan populasi gajah tawanan, kini mengendalikan kira-kira 1,745 ekor gajah dan jumlah itu bertambah dengan cepat.

Beliau menggesa kerajaan memperuntukkan sejumlah tanah untuk penduduk kampung menanam tanaman bagi menyediakan makanan kepada haiwan gergasi dan secara tidak langsung dapat menambah pendapatan penduduk.

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »