BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Tamu Muhibbah Miri menggamit pengunjung

MIRI: Jika mahu melihat keunikan pelbagai etnik kaum di Miri, Tamu Muhibbah di Jalan Padang adalah tempat yang paling ideal untuk dikunjungi.

Seperti namanya, tamu ini memang muhibah kerana mengumpulkan semua penjaja dari kira-kira 27 kumpulan etnik yang berlainan agama dan budaya dibawah satu bumbung.
Apabila melangkah masuk, pengunjung akan bertemu dengan penjaja antaranya yang berbangsa Cina, Melayu, Kedayan, Kayan, Bidayuh, Kedayan, Kenyah, Melanau, Saban, Kelabit, Lun Bawang, Bisaya dan Jatti Miriek dan Penan.

Keunikan ini menjadikan Tamu Muhibbah cukup terkenal di kalangan warga Miri dan pelancong dari luar.
Tamu ini terbahagi kepada dua iaitu bahagian hadapan yang menjual produk sayuran, daging, tanaman dan buah-buahan.

Manakala bahagian belakang ialah Tamu Khas yang menjual dabai, terung asam Sarawak atau terung Dayak, garam bukit, paku, midin, rebung, belacan, beras Bario selain buah bermusim seperti durian dan langsat
Penjaja bukan sahaja dari Miri malah ada yang datang dari Marudi, Baram, Batu Niah, Bekenu dan kawasan lain.

Tamu Muhibbah yang beroperasi lebih 25 tahun ini pernah ditutup selama seminggu bagi mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak COVID-19 sebelum dibuka semula pada 29 Mac.

Majlis Bandaraya Miri (MBM) menghendaki penjaja dan pelanggan mematuhi SOP seperti penjarakan sosial dan memakai pelitup muka.

Tinjauan Gago Daily hari ini mendapati, tamu itu masih menjadi tumpuan walaupun aktiviti jual beli dilakukan dalam normal baharu.

Risalah peringatan penjarakan sosial, penggunaan pelitup muka dan sanitasi tangan turut ditampal di beberapa kawasan strategik Tamu Muhibbah.

Salah seorang penjaja yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkata, mereka tiada masalah mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Aktiviti urus niaga berjalan lancar walaupun jumlah pelanggan agak berkurangan," katanya yang menjual pelbagai produk tempatan seperti garam gunung, cencaluk dan gambir.

Tamu Muhibbah dibuka mulai jam 6 pagi hingga 6 petang. 

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »