BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

SPR disaran kerjasama dengan media, mudahkan calon berkempen

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran bekerjasama dengan media kerajaan dan swasta bagi memudahkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini berkempen.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen-Pilihan Raya Syed Ibrahim Syed Noh dalam kenyataan hari ini berkata calon juga perlu diberi ruang untuk berkempen menerusi televisyen dan radio bagi menarik pengundi terutamanya di kawasan pedalaman.

"Difahamkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) telah bersedia untuk menyediakan tambahan kapasiti dan liputan internet sekiranya SPR menggalakkan kempen PRK DUN Chini dilakukan melalui media sosial. 

"Apa yang diperlukan sekarang ialah untuk melebarkan liputan (kempen) melalui saluran media perdana kerajaan dan swasta terutamanya televisyen dan radio," katanya.

Katanya percaya kaedah itu memberi kebaikan kepada semua pihak termasuk calon PRK DUN Chini serta  penyokong dan jika dilaksanakan, pemilih akan mendapat capaian mudah untuk mengetahui berkenaan calon dan parti melalui sesi debat di televisyen atau radio. 
 
Pada Isnin (15 Jun), SPR memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) khas akan digunak pakai sepanjang PRK DUN Chini memandangkan situasi COVID-19 and Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang berkuatkuasa. 

Antara SOP khas yang ditetapkan ialah aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi tidak dibenarkan dan kempen digalakkan menguna pakai medium atas  talian atau melalui saluran media sosial.

Syed Ibrahim berkata kaedah kempen melalui medium atas talian sedikit membimbangkan berikutan  DUN Chini dikenali sebagai kawasan luar bandar dan penempatan warga Felda serta masyarakat Orang Asli.

Justeru, pihaknya berharap SPR mempertimbangkan kempen dari rumah ke rumah dibenarkan dengan syarat yang ketat iaitu mematuhi jarakan sosial, memakai pelitup separuh muka dan tidak melebihi empat individu.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lepas di Hospital Kuala Lumpur, akibat serangan jantung, dan SPR menetapkan 20 Jun ini sebagai hari penamaan calon, dan 4 Julai sebagai hari mengundi.
-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »