BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Skim harga maksimum ayam standard dilaksana jika perlu - Nanta

BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama)-- Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan skim harga maksimum bagi ayam standard sekiranya masih berlaku kenaikan harga secara mendadak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya akan menetapkan harga siling bagi ayam standard sama seperti yang dilaksanakan ketika musim perayaan sekiranya ada keperluan.

"Pagi tadi saya melawat pasar berdekatan dan sempat berbual dengan peniaga ayam. Memang diakui ada kenaikan harga ayam hampir 40 peratus dan pihak kami ada menerima aduan daripada pengguna. Jadi, kami di kementerian khususnya pihak penguatkuasaan telah membuat pemantauan.

"Pada peringkat awal, kami memberi amaran dulu dan memberitahu jangan jual dengan harga yang begitu tinggi. Kami dapat maklumat mungkin pihak pemborong dan penternak yang menaikkan harga ayam ini.

“Peniaga ayam tak ada ruang untuk mendapat keuntungan pun kerana harga yang dibekalkan kepada mereka itu tinggi," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke MSM Prai Berhad, di sini hari ini.

Beliau berkata difahamkan ada peniaga yang menjual ayam pada harga antara RM10 dan RM11 sekilogram, berbanding RM7.50 ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa baru-baru ini.

Nanta berkata buat masa ini pihaknya tidak meletakkan harga siling bagi ayam standard memandangkan musim perayaan sudah berakhir, namun memaklumkan perkara itu akan disiasat.

Sementara itu, Nanta turut menasihatkan penternak supaya menjual ayam secara terus kepada peniaga bagi mengelak kenaikan harga ayam secara mendadak.

"Kita dapati penternak menjual ayam kepada anak-anak syarikat mereka atau pemborong dan dari sini mereka menaikkan harga. Penternak boleh jual secara terus kepada peniaga kecil untuk bantu mereka, jangan semua dijual kepada pemborong," katanya.

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »