BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Seludup dadah dari Malaysia guna dron


SINGAPURA, 20 Jun (Bernama) -- Dua lelaki rakyat Singapura telah diberkas kerana disyaki menggunakan pesawat tanpa pemandu atau dron untuk menyeludup masuk dadah ke republik itu dari Malaysia, demikian menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Biro Narkotik Pusat (CNB).

Data penerbangan yang diambil daripada telefon seorang daripada suspek menunjukkan bahawa dron itu telah terbang dari Kranji ke Johor Bahru dan kembali semula ke Kranji, menurut pihak berkuasa dalam kenyataan bersama di sini hari ini.

Kenyataan itu menyebut bahawa pada 17 Jun kira-kira 5.45 petang, polis mengesan aktiviti luar biasa dron di sekitar Taman Takungan Air Kranji dan menemukan pesawat tanpa pemandu tersebut dengan sebuah beg terpasang padanya, sedang berlegar di udara.

Polis kemudian menahan kedua-dua lelaki, masing-masing berusia 29 dan 34 tahun, yang dipercayai pengendali dron itu. 

Pemeriksaan pegawai CNB ke atas sebuah kereta milik suspek membawa kepada penemuan pelbagai jenis ubat terkawal.

Operasi susulan CNB pada hari berikutnya menyaksikan seorang wanita berusia 24 tahun dan seorang lelaki berusia 40 tahun, kedua-duanya rakyat Singapura, telah ditahan berhubung kes itu.

“Siasatan berhubung kes itu sedang berjalan,” kata pihak berkuasa.

Menurut pihak berkuasa, kedua-dua suspek lelaki telah didakwa semalam atas pertuduhan mengedar ubat terkawal Kelas A.

Sejumlah 389 gram dadah jenis syabu, 8 gram heroin, 195 pil ekstasi dan dua pil Erimin-5 yang dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya S$44,000 telah dirampas.

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »