BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Pusat transit gelandangan di bandar utama

KUCHING, 2 Jun: Kementerian Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak bercadang menubuhkan pusat transit bagi memberikan tempat tinggal sementara kepada golongan gelandangan bekerja di semua bandar utama negeri ini.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata dengan pihaknya bercadang membuka pusat terbabit di bandar raya Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri yang ketika ini ada bilangan golongan gelandangan yang ramai.

"Mereka (golongan gelandangan) boleh mandi, tidur di situ (pusat transit) pada malam hari dan pada siang hari mereka boleh keluar bekerja, apa sahaja kerja yang boleh mereka ceburi. Yang penting kerja itu halal dan tidak terlibat perkara boleh merosak diri sendiri,"katanya selepas mengadakan lawatan terhadap kumpulan golongan gelandangan di Tebingan Kuching, di sini, hari ini.

Fatimah berkata kemungkinan projek perintis pusat terbabit akan dilaksanakan di bandar Sibu dan pihaknya berharap selepas itu akan ada badan bukan kerajaan (ngo) mengendalikan pusat terbabit secara sepenuh masa.

"Pengalaman kita mengendalikan gelandangan ini, mereka tidak suka ditempatkan di institusi, mereka mahu bebas, mereka tidak mahu minta sedekah dan ada harga diri, mereka mahu bekerja dan berdikari, cuma mereka mahukan tempat tidur,"katanya.

Beliau berkata ini terutamanya golongan gelandangan muda yang berusia antara 30 sehingga 40 tahun yang masih produktif dan boleh mencari pekerjaan tetapi tiada tempat tinggal di kawasan bandar utama negeri ini.

Katanya setakat ini Sarawak tidak mempunyai bilangan gelandangan yang ramai di kawasan bandar seperti di negeri lain, tetapi pihaknya bercadang menubuhkan pusat itu bagi mengatasi masalah terbabit sebelum menjadi satu isu besar. 


Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »