BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

PRK Chini: Mohd Sharim calon BN


PEKAN, 18 Jun (Bernama) -- Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan Mohd Sharim Md Zain dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membuat pengumuman calon BN itu di Pejabat UMNO Bahagian Pekan, di sini hari ini.

Katanya pemilihan Mohd Sharim, 41, anak peneroka generasi kedua Felda adalah keputusan yang tepat berikutan beliau merupakan anak setempat dan amat mengenali kepimpinan Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun serta rapat dengan penyandang DUN Chini itu yang meninggal dunia, 6 Mei lepas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana serangan jantung.

Wan Rosdy berkata BN Pahang membuat banyak tapisan bagi mencari calon yang menepati kriteria ditetapkan oleh pucuk pimpinan.

"Selain bekerja rapat dengan Allahyarham (Abu Bakar), Mohd Sharim dipilih kerana dia anak setempat dan tahu selok belok mengenai masyarakat di DUN Chini, sekali gus mampu menjadi pilihan rakyat di kawasan Chini,” katanya.

Walaupun PRK DUN Chini diadakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata jentera BN sentiasa bersiap sedia untuk berdepan dengan mana-mana calon yang bertanding.

Dalam pada itu, Mohd Sharim berterima kasih kepada pimpinan BN pusat dan Pahang atas kepercayaan diberikan kepadanya sebagai calon BN pada PRK DUN Chini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Chini pada 4 Julai dengan hari penamaan calon pada 20 Jun ini, manakala hari pengundian awal pada 30 Jun.

DUN Chini, yang merupakan satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, akan menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, manakala calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065).

Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mengandungi 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal manakala tiada pengundi tidak hadir luar negara.

Pengundi berusia 40 tahun dan ke bawah merupakan majoriti di DUN itu iaitu mewakili 56 peratus.
-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »