BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Polis Marin tahan dua lelaki, rampas 100kg daun ketum serta heroin

LANGKAWI, 17 Jun (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi menahan dua lelaki dan merampas 100kg daun ketum serta dadah jenis heroin seberat 43.1 gram dalam satu serbuan di Jeti Marble, di sini semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Satu Langkawi, DSP Rohizan Mohamad Saaid berkata tangkapan dan rampasan pada pukul 2.00 pagi itu dilakukan sepasukan anggota ketika melaksanakan penugasan Op Benteng COVID.

Beliau berkata terdahulu semasa melaksanakan penugasan itu, anggota PPM Wilayah Satu mengesan sebuah MPV jenis Perodua Alza yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir kereta di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, anggota PPM Wilayah Satu telah menjumpai dua bungkusan plastik berisi serbuk ketulan warna putih disyaki dadah jenis heroin seberat 43.1 gram,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata ia kemudiannya membawa kepada pemeriksaan lanjut ke atas sebuah bot jenis fiber berwarna biru di Jeti Marble, yang ada kaitan dengan kedua lelaki berkenaan, dan pihaknya menemui 13 bungkusan plastik berwarna hitam berisi daun ketum seberat 100 kg.

Rohizan berkata kedua-dua lelaki berusia 37 tahun itu dibawa ke Markas Operasi PPM Wilayah Satu Langkawi bersama barangan rampasan seperti daun ketum, heroin, sebuah MPV jenis Perodua Alza, bot fiber serta wang tunai untuk siasatan lanjut.

“Barangan rampasan dianggarkan bernilai RM67,120. Hasil ujian saringan, kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan Mop, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Penagihan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952," katanya.
-- BERNAMA

Gambar ihsan Facebook Polis Marin Langkawi 

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »