BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Peter Anthony diserang vertigo, pendakwaan ditangguh 10 Julai



KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama)-- Mahkamah Sesyen di sini menetapkan pendakwaan ke atas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony yang sepatutnya berlangsung hari ini di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditangguhkan ke 10 Julai ini.

Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan oleh peguam yang mewakili Peter,  Mohamed Haniff Khatri Abdulla pada prosiding hari ini bahawa anak guamnya dimasukkan ke sebuah hospital di Kota Kinabalu, semalam.

“Saya dimaklumkan beliau dimasukkan ke wad di Hospital KPJ Kota Kinabalu lewat petang semalam kerana mengalami vertigo. Beliau sepatutnya menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur pada jam 4.15 petang semalam,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin  memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baharu untuk prosiding kes tersebut yang telah didaftarkan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Pada 11 Jun lepas, Peter yang merupakan Naib Presiden Parti Warisan Sabah  telah didakwa di Mahkamah  Khas Rasuah Kota Kinabalu atas lima pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM8.75 juta berhubung  pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Pada 18 Jun beliau dihadapkan ke mahkamah sama atas pertuduhan bersubahat kes pecah amanah juga melibatkan pembelian tanah RISDA bernilai RM15,545,400.

Ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding selesai, Mohamed Haniff berkata anak guamnya difahamkan akan menghadapi satu pertuduhan hari ini.

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »