BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Pesara dakwa simpanan berjumlah RM740,000 lesap

KUANTAN, 13 Jun (Bernama) -- Seorang pesara mendakwa simpanannya berjumlah RM740,000 lesap selepas diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis, sejak hampir empat bulan lepas. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 65 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Balai Polis Kota Kinabalu, Sabah sekitar Mac lepas.

Suspek mendakwa perlu melakukan soal siasat kerana terdapat kertas siasatan mengaitkan nama mangsa yang disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram. 

"Mangsa yang menafikan terlibat dengan kes berkenaan diarahkan berkongsi maklumat mengenai wang simpanannya menerusi panggilan telefon itu supaya tidak dirampas atau akaun banknya dibekukan sepanjang siasatan. 

"Suspek didakwa memberitahu, mangsa juga perlu memindahkan wang itu ke akaun baharu dengan jaminan akan dipulangkan semula selepas tamat siasatan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 
 
Mohd Wazir berkata mangsa diberi amaran supaya tidak menceritakan hal berkenaan kepada orang lain termasuk ahli keluarga atau dikenakan tindakan kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi dan mendedahkan siasatan polis. 

Mangsa mendakwa telah memindahkan wang dari akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan akaun bank miliknya ke akaun diberikan suspek sebanyak tujuh kali secara berperingkat mulai 23 Mac. 

Bagaimanapun, mangsa mulai curiga selepas gagal menghubungi suspek bagi bertanyakan status siasatan baru-baru ini kerana mahu menggunakan wang simpanannya. 

Sehubungan itu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan. 
-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »