BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Pertandingan Kumang sudah sebati dalam darah daging Senorita

KUCHING, 17 Jun (Bernama) -- Usia tidak pernah menjadi penghalang Datin Senorita Linang, bekas ratu cantik untuk terus menabur bakti dalam bidang yang amat diminatinya iaitu pertandingan ratu cantik.

Senorita yang popular sebagai penyanyi pada era 60-an dan 70-an, berkata industri hiburan dan pertandingan ratu cantik, sudah begitu sebati dalam darah dagingnya dan beliau tidak terfikir untuk meninggalkan bidang ini.

“Saya akan terus menyumbang (dalam pertandingan ratu cantik) kerana saya meminati pertandingan ratu cantik, menyanyi dan menari," kata Senorita, 74, isteri kepada mendiang Temenggong Datuk James Jimbun Pungga yang juga anggota Parlimen Kapit, selama tiga penggal (1986-1999).
(James Jimbun yang juga bekas anggota Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, meninggal dunia pada usia 77 tahun, pada April 2017). 

Biarpun sudah menjejaki usia warga emas, Senorita yang pernah menjadi wanita Iban pertama dinobatkan sebagai Kumang Gawai Dayak (ratu cantik Dayak Gawai) selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada 1966, 1967 dan 1968, masih tetap anggun dan jelita.

Kecantikan dan keanggunan Senorita, nenek yang sudah mempunyai dua orang cucu ini, terserlah dek keayuan dan kelembutannya.

Yang pasti, rahsia wanita ini terus kekal ramping, segar bugar dan bertenaga kerana dia rajin melakukan senaman selama 25 minit sehari dan mengamalkan minum segelas air lemon suam, sebaik selesai bersenaman.
 
 
DULU PESERTA, KINI JURI
 
Senorita, yang juga pengurus Yayasan Kebudayaan Dayak - jawatan yang dipegangnya sejak 1994 mengakui beliau masih aktif dalam seni persembahan dan sering menjadi penasihat bagi pertandingan ratu cantik tahunan Gawai Dayak.

"Saya juga membantu dalam pengadilan pertandingan ratu cantik lain apabila diundang oleh pihak penganjur," katanya kepada Bernama, sambil menambah bahawa dia sering diundang menjadi juri dalam pertandingan ratu cantik.

Antara pertandingan yang pernah diadili beliau ialah pertandingan Kumang Gawai peringkat negeri dan kebangsaan, Miss Tourism & Lovely Gawai Dayak Tourism Night, Miss World Harvest Festival, Miss Cultural Harvest Festival, Miss City Queen, Miss Sarawak dan Miss & Mrs Kebaya Malaysia (Sarawak) 2018.
Senorita berkata semenjak dinobatkan sebagai ratu cantik Dayak Gawai pada tahun 1960-an, beliau  mewakili Sarawak dalam pertandingan Miss Malaysia Float Queen yang diadakan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1967 sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-10 dan muncul naib juara.
 
 
ARTIS RAKAMAN
 
Senorita juga penyanyi berbakat dan telah menempa nama dalam industri hiburan tempatan. Dia adalah suara di belakang lagu-lagu popular masyarakat Iban antaranya Belala Begulai yang dirakamkan beliau pada tahun 1961. Dua lagi lagu adalah Nadai Meri Berita serta Beri Pesan Ke Aku yang dirakam pada tahun 1962.

Peluangnya menjadi artis rakaman di Radio Sarawak muncul setelah dia dinobatkan sebagai 'Penyanyi Pop Wanita Terbaik' dalam pertandingan di Kuching pada tahun 1965.
Mengimbau zaman kegemilangan Senorita sebagai penyanyi bermula sekitar tahun 1960-an dan 1970-an, beliau banyak membuat penampilan dan persembahan dengan kumpulan pop tempatan seperti The Vandals, The Tornadoes, The Beatniks, The Diamond Shakes, The Star Dusts, The Evergreen Lads, The Royalists dan The Linang Sisters, begitu juga dalam RTM Combo, Orkestra Jazz Simfoni Negeri Sarawak dan KPSU Combo.

Beliau juga pernah tampil bersama Kumpulan Orkestra Alfonso Suliano di Dewan Merdeka, Kuala Lumpur dan kumpulan The Checkmates dari Singapura di Miramar Cinema, Kuching.

Senorita juga dikenang kerana pernah mendokumentasikan dua rentak tarian asli Ngajat (tarian tradisional Iban), iaitu Ajat Indu dan Ajat Bujang Berani, pada tahun 2008.

Selain keterlibatannya dalam dunia hiburan, Senorita juga aktif dalam politik dan merupakan anggota Majlis Tertinggi Sayap Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dari tahun 1986 hingga 2016.
Beliau juga merupakan antara personaliti yang diketengahkan dalam buku Sarawak Women in the Arts yang dilancarkan bekas Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem sempena sambutan Hari Wanita peringkat negeri pada 17 Okt 2015.
 
Diterjemah dan disunting oleh Rafe’aton Md. Ali
 
-- BERNAMA

Kredit gambar Cute Carry

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »