BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Perdana Menteri lawat LAKSANA

Hari ini saya telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) di Kementerian Kewangan bagi meninjau operasi serta status pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan langkah-langkah di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang keseluruhannya bernilai RM295 bilion.
 
Antara agenda utama lawatan pada hari ini adalah untuk melancarkan Papan Pemuka Digital (Digital Dashboard) yang telah dibangunkan oleh LAKSANA untuk memastikan proses pemantauan dan pelaksanaan Pakej PRIHATIN dan PENJANA dibuat dengan telus, cepat dan tepat.
 
Menerusi sesi taklimat yang diberikan, saya difahamkan Papan Pemuka Digital ini berupaya menghubungkan data daripada 53 Kementerian dan agensi-agensi Kerajaan yang terlibat dalam pelaksanaan langkah-langkah di bawah Pakej PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan dan PENJANA.

Pendekatan ini membolehkan Kerajaan bertindak secara dinamik dan segera berdasarkan data raya dalam membuat keputusan, memastikan keberkesanan penyampaian bantuan dan perkhidmatan, serta membuat penelitian yang perlu bagi memastikan bantuan Kerajaan benar-benar diterima oleh kumpulan yang disasarkan.
 
Pada sesi taklimat selama 30 minit itu, YB Menteri Kewangan telah membentangkan laporan mingguan pencapaian Pakej PRIHATIN dan PENJANA sehingga hari ini. Laporan seperti ini penting bagi memastikan ketelusan dalam penyampaian pakej-pakej rangsangan ini kepada Rakyat dan syarikat-syarikat yang memerlukan.

Ingin saya tekankan bahawa usaha LAKSANA dalam memantapkan jalinan kerjasama antara sektor awam dan swasta sangat penting kerana ia merupakan tunjang utama dalam menjayakan pelan pemulihan ekonomi negara.

Pada lawatan ini juga, saya telah berpeluang berinteraksi bersama lima (5) orang penerima bantuan di bawah Pakej PRIHATIN melalui sesi sidang video.

Mereka adalah Encik Michael Lo Vun Leong dari Tamparuli Sabah; Encik Pajan Singh A/L Kirpal Singh, yang merupakan pemilik hotel bajet di Kuantan Pahang; Puan S. Pavithra dan suami, Encik M. Sugu, yang terkenal dengan video masakan ayam varuval dari Sungai Siput, Perak; seorang pemandu teksi di Lembah Klang, Encik Ahmad Rusdi bin Mat Daud, dan Encik Rosnizam Bin Ishak dari Bertam, Pulau Pinang yang telah memulakan perniagaan kambing perap.
 
Selain itu, saya telah meluangkan masa beramah mesra dengan dua orang suri rumah yang juga penerima BPN iaitu Puan Azizah Abdullah Aziz dan Puan Normawati Ismail, kedua-duanya dari Lembah Klang. Mereka merupakan peniaga makanan secara kecil-kecilan dan dengan bantuan PRIHATIN, mereka kini mampu mengembangkan perniagaan makanan mereka.

Pada pertemuan itu, saya turut menerima pek makanan yang disediakan oleh Puan Azizah dan Puan Normawati. Alhamdulillah saya sangat berbangga dengan pencapaian penerima-penerima BPN dan berpuas hati dengan prestasi pakej PRIHATIN setakat ini. Insya-Allah saya harap pemberian pakej-pakej rangsangan ini dapat memanfaatkan semua penerima, sekaligus menambah baik kualiti hidup mereka.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »