BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Peniaga dipenjara 15 hari, denda RM75,000 cuba rasuah pegawai polis

SRI AMAN, 18 Jun (Bernama) -- Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 15 hari dan denda RM75,000 ke atas seorang peniaga berumur 53 tahun kerana cuba merasuah seorang pegawai polis.

Ting Hua Thai mengaku bersalah di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbong, atas pertuduhan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ikhwan Mohd Ibrahim.

Dalam penghakimannya, Nixon Kennedy memerintahkan supaya hukuman penjara itu bermula hari ini dan wang RM15,000 yang ditawarkan Ting sebagai wang rasuah dalam kes itu dilucuthak untuk diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

Ting yang telah membayar denda itu sebelum itu didakwa menawar dan memberikan wang rasuah itu kepada pegawai yang mengetuai sepasukan anggota dari Batalion ke-10 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang memeriksa sebuah rumah di Taman Mayfair di sini 27 Sept tahun lepas.

Pemeriksaan itu dibuat selepas rumah berkenaan disyaki digunakan untuk menyimpan rokok pelbagai jenis yang belum diluluskan Jabatan Kastam, satu kesalahan di bawah Seksyen 135, Akta Kastam 1967 dan Ting menawarkan rasuah itu sebagai balasan supaya pasukan itu tidak mengambil tindakan di atas kesalahan kastam itu.
-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »