BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Pengurus kelab malam didakwa tumbuk polis

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus kelab malam dihadapkan ke dua mahkamah majistret di Kuala Lumpur hari ini atas empat pertuduhan, termasuk memandu dalam keadaan mabuk, menumbuk anggota polis serta membaling kerusi terhadap penjawat awam terbabit.

Leng Kar Loon, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Puteri Nursheila Rahimi dan S Mageswary.

Di hadapan Puteri Nursheila, bapa dua anak itu didakwa memandu Toyota Avanza di bawah pengaruh alkohol dengan kandungan alkohol di dalam badannya didapati sebanyak 200 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter darah (ml) berbanding had ditetapkan 80mg bagi 100ml darah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan Bulatan Bilion, Cheras pada jam 1 pagi, 21 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara maksimum 12 bulan serta lesen memandu percubaan dibatalkan jika sabit kesalahan.

Pegawai pendakwa Ins Abdullah Khazali menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Tan Kian Peng yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum kerana anak guamnya yang berpendapatan RM2,500 sebulan menanggung dua anak berumur 10 dan 20 tahun.

Puteri Nursheila kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin. Beliau juga menetapkan 1 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »