BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Memandu mabuk, 11 lelaki didenda


KUALA LUMPUR, 4 Jun -- Akibat memandu di bawah pengaruh alkohol, 11 lelaki masing-masing didenda antara RM2,500 hingga RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Puteri Nursheila Rahimi menjatuhkan hukuman itu ke atas 11 lelaki berusia antara 23 hingga 57 tahun selepas mereka mengaku bersalah memandu kereta di bawah pengaruh alkohol antara 92miligram (mg) hingga 184mg dalam 100 mililiter darah, yang melebihi had yang ditetapkan iaitu 80mg.

Jika gagal membayar denda tersebut mereka akan dipenjara antara dua hingga empat bulan.

Tertuduh ialah Wong Kok Lai, 41; Saw Han Teck, 57; Yuen Kwong Wai, 55; Wong Ziat Aun, 23; Chew Kwiok Hing, 49; Wong Tuck Seng, 43; Roysten Raj Pillai Sundara Raju, 33; Cheng Yew Suan, 54; K Elavarasu, 46; P Tinaraj, 34 dan S.Thevaakiranraj, 29.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Lebuhraya Sprint, Jalan Klang Lama, Jalan Hang Tuah, Jalan Dutamas dan Jalan Kepong di sini, pada 3 Jun, antara 1.24 pagi dan 11.05 malam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM6,000 dan boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan serta lesen percubaan dibatalkan.

Pegawai Pendakwa Insp Abdullah Khazali, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran ke atas semua tertuduh, manakala kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon maaf dan merayu hukuman denda minimum.

Sementara itu, Puteri Nursheila turut menasihati semua tertuduh supaya menjadi pemandu yang berhemah.

“Sudah tahu mabuk mintalah rakan hantarkan pulang, kamu bukan sahaja membahayakan diri kamu, tetapi juga membahayakan orang lain juga,” katanya.

Tertuduh membayar denda yang dikenakan.

-- BERNAMA

Kredit gambar Malaysiakini 

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »