BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Ketua Pengarah KKM kembali semula dalam bilik bedah


KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Selepas beberapa bulan bekerja keras untuk memerangi pandemik COVID-19, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kembali semula ke dalam bilik bedah.

Dr Noor Hisham, yang juga pakar bedah, berkata beliau sempat “mencuri” masa untuk melakukan pembedahan tiroidektomi untuk seorang pesakit yang menghidap “right dominant multinodular goitre” pagi ini.

“Amat “menyegarkan” berada semula dalam bilik bedah untuk menenangkan diri saya dan bertemu dengan semua staf OT (bilik bedah) saya. Saya turut diberikan taklimat mengenai aliran kerja dan SOP (prosedur operasi standard) bagi pesakit positif COVID-19 yang perlu menjalani pembedahan.

“Setiap hari memberi pembelajaran dan cabaran baharu untuk kami membuat persediaan untuk menghadapi situasi paling teruk, dan saya kagum dengan keikhlasan, kekuatan dan kreativiti dipamerkan petugas barisan hadapan kita. 

“Tatkala berdepan dengan situasi pandemik, ia memberi banyak pengajaran bernilai tentang perpaduan dan solidariti. Adalah penting untuk kita mengambil semua langkah berjaga-jaga dan memastikan kebersihan diri,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Dr Noor Hisham berkata disebabkan pandemik itu, beliau dan petugas barisan hadapan dapat menjalin jaringan hubungan dengan lebih baik antara satu sama lain dan terus berusaha untuk menerokai idea dan inovasi baharu.

“Kita kini dalam fasa pemulihan; bagaimanapun, cabaran sebenar bermula sekarang iaitu untuk rakyat mematuhi SOP. 
“Rakyat mampu melakukan perkara yang mustahil kerana kini sudah ada harapan dan masa depan cerah untuk memutuskan penularan COVID-19,” katanya.

Dr Noor Hisham muncul di televisyen pada 5 petang setiap hari, untuk memberikan perkembangan terkini dan berita berkaitan COVID-19 yang ditunggu-tunggu orang ramai.

Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Pembedahan dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »