BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Kes pemandu mabuk: Peraih ikan didakwa bunuh penyelia Alam Flora

KUANTAN: Seorang peraih ikan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan membunuh Irwan Herman Kamarudin yang maut selepas keretanya dirempuh kenderaan dipandu melawan arus dekat Jalan Pintasan Kuantan, minggu lepas.

Teoh Kian Peng, 42, yang berkemeja-T putih dan berseluar pendek hitam kelihatan tenang, mengaku faham terhadap pertuduhan ke atasnya yang dibacakan di hadapan Majistret Najwa Hashim.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh yang berasal dari Tanah Putih di sini, didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran stesen minyak Petronas di Jalan Pintasan Kuantan di sini pada 9.20 malam, 25 Mei lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abd Ghani, tidak menawarkan jaminan memandangkan pertuduhan itu merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin dan memohon supaya tertuduh direman di Penjara Penor di sini, sementara menunggu perbicaraan.

"Kami juga mohon diberikan tarikh sebutan bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapatkan empat laporan iaitu bedah siasat, kimia, forensik dan laporan daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom)," katanya.

Tertuduh diwakili peguam Tay Yi Kuan. Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 8 Julai.

Irwan Herman, 41, penyelia di Alam Flora Sdn Bhd, maut selepas kereta Toyota Yaris yang dipandunya dirempuh kenderaan pacuan empat roda Toyota C-HR dipandu seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.

Siasatan awal polis mendapati kenderaan C-HR itu dipandu secara melawan arus sejauh tujuh kilometer dari susur masuk Jalan Pintasan Kuantan di Semambu sebelum bertembung dengan kereta mangsa yang dalam perjalanan ke Gebeng di sini untuk bekerja syif malam pada hari kejadian. – BERNAMA

Kredit gambar @infosemasaofficial

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »