BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Kerajaan Sarawak salur RM164.8 juta untuk pembangunan Bau

KUCHING, 4 Jun (Bernama) -- Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM164.8 juta dalam tempoh empat tahun lepas bagi pelaksanaan beberapa projek di Bau, sebuah daerah separa bandar yang terletak kira-kira 33 kilometer barat daya dari sini yang pernah terkenal dengan perlombongan emas.

Peruntukan itu diagihkan untuk pembinaan Kompleks Daerah Bau, Jambatan Buso-Musi, arena sukan dan Perumahan Rakyat Rumah Spektra Permata Kampung Sibuluh, yang masing-masing melibatkan kos RM5 juta, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru, Datuk Harry Henry Jinep hari ini.

Projek-projek tersebut juga merangkumi jambatan pejalan kaki Tasik Biru yang berharga RM1 juta, Pasar Basah Bau baharu (RM2.8 juta), selain untuk pembinaan saluran paip air dari Bau ke beberapa kampung, skim pembekalan elektrik luar bandar serta kerja-kerja penambahbaikan lampu isyarat Bau," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pembangunan di Bau akan berterusan memandangkan kerajaan negeri telah menyediakan pelan hala tuju pembangunan masa depan sehingga 2030 untuk memastikan daerah itu setanding dengan daerah-daerah lain yang maju di Sarawak.

"Rakyat telah menyaksikan pembangunan yang luar biasa berlaku di Bau dalam tempoh empat tahun dan ia akan terus dilaksanakan setelah Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) berakhir," katanya.

Dalam perkembangan lain, Harry berkata beliau juga meninjau usaha untuk memudahkan pemberian hak milik tanah kepada penduduk yang berhak di daerah tersebut.
-- BERNAMA


Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »