BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Kemalangan : 3 ditahan gara-gara bakar kereta wanita difitnah mabuk


TASEK GELUGOR, 22 Jun (Bernama)-- Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes kemalangan yang turut menyaksikan sebuah kereta dibakar selepas pemandunya didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol dalam kejadian di Jalan Ara Kuda, di sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki pertama berusia 33 tahun ditahan di Padang Menora di sini pada 12 tengah hari semalam selepas dipercayai memuat naik maklumat tidak benar mengenai insiden itu.

Dua lagi lelaki, masing-masing berusia 19 dan 29 tahun, dan merupakan abang kepada pasangan kembar yang terlibat dalam kemalangan itu, ditahan di dua lokasi berbeza di Tasek Gelugor kira-kira 5 petang semalam.

Noorzainy berkata kedua-duanya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan cuba bertindak agresif terhadap pemandu wanita yang melanggar adik mereka selain membuat komen negatif berhubung kejadian dalam laman sosial Facebook.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis sedang mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian bakar kereta wanita itu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki pertama disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana menyebarkan berita palsu sehingga boleh menimbulkan suasana tegang dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, manakala dua lagi disiasat menurut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat dengan api.

Pada Sabtu lepas, polis menafikan kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal, masing-masing ditunggang pasangan kembar berusia 14 tahun, adalah disebabkan pemandu kereta itu mabuk.

Menurut polis, siasatan mendapati pelanggaran pada 9.50 malam tersebut berlaku disebabkan pemandu wanita berusia 56 tahun itu mengelak seekor haiwan yang melintas jalan secara tiba-tiba, menyebabkan keretanya terbabas ke laluan bertentangan sebelum terbabit kemalangan dengan dua buah motosikal tersebut.

Sejurus kejadian, orang awam yang berada di lokasi bertindak membawa wanita itu ke balai polis berdekatan sementara pasangan kembar yang masing-masing patah kaki kanan dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dirawat.

Kemalangan itu turut mengundang kemarahan beberapa individu yang bertindak membakar kereta pekebun sayur tersebut kerana menyangka wanita berkenaan memandu dalam keadaan mabuk.

Klip video kejadian kemudian ditularkan. 

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »