BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

KDN kenalpasti 37 titik pendaratan PATI di Sabah

KOTA KINABALU, 14 Jun (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengenal pasti sebanyak 37 titik pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah membabitkan 10 daerah di negeri ini, kata Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, titik pendaratan PATI itu dikenal pasti dalam Op Benteng COVID-19 yang diaktifkan di Sabah pada 21 Mac lepas.

Kesemua titik pendaratan itu membabitkan 11 kawasan di Sandakan; Lahad Datu (lima); masing-masing empat kawasan di Tawau, Kudat dan Beluran; Kunak (tiga); dua kawasan di Kota Marudu dan Kinabatangan; serta satu kawasan di Semporna dan Pitas.

“Operasi berkenaan dilaksanakan secara bersepadu dalam 'National Task Force' pada April lepas bersama agensi lain diketuai Panglima Angkatan Tentera Malaysia, yang bertujuan menyekat kemasukan PATI dengan memperkukuh kawalan sempadan negara bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

"Kawalan sempadan ini dilakukan di dua tempat iaitu di sempadan daratan - lorong tikus dan lokasi-lokasi lain yang menjadi tempat pendaratan PATI," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal di sini, hari ini.
 
Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, 14 projek pembangunan fizikal di Sabah yang juga projek kategori sambungan daripada Pelan Pusingan terdahulu dengan kos RM1 bilion dan kesemua projek terbabit dalam pelbagai fasa pembinaan.

Beliau berkata, ini adalah selari dengan inisiatif KDN yang memberi fokus kepada kerja-kerja naiktaraf, ubah suai dan pembaikan premis serta fasiliti sedia ada, dan menurutnya, RM12,996,570 diperuntukkan bagi kerja-kerja naik taraf dan pembaikan fasiliti Polis Diraja Malaysia di Sabah merangkumi pembaikan kuarters, pejabat serta stor.

Pada April lepas, Hamzah berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meluluskan peruntukan RM150 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin bagi kerja naik taraf semua agensi di bawah KDN, dan daripada jumlah itu, RM31,081,499 diperuntukkan kepada agensi di Sabah, katanya.

Mengenai lawatan kerja tiga hari ke Sabah, Hamzah memulakan lawatannya pada Jumaat dengan melawat tapak projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu sebelum ke Tawau bagi meninjau pengoperasian Op Benteng dan sempadan Malaysia-Indonesia di Sungai Melayu, Wallace Bay di Pulau Sebatik dan Burs Point di Pulau Tamba, Kalabakan.

Pada hari ini, Hamzah diberikan taklimat mengenai pengoperasain PTS dan isu-isu berkaitan imigresen di Sabah sebelum mengakhiri lawatan kerjanya dengan meninjau tapak projek Balai Polis dan Perumahan Inanam.
-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »