BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Jurutera mabuk rempuh kedai



KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk merempuh sebuah kedai makan dan menyebabkan seorang pelanggan cedera di Lorong Perak, Taman Melawati, dekat sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Mohd Azam Ismail, berkata dalam kejadian jam 8.30 malam itu, pemandu kereta Perodua Myvi itu turut merempuh dua lagi kenderaan yang berada di kawasan itu.

Katanya, mangsa yang cedera adalah pesara polis berusia 50-an yang mengalami kecederaan di muka.

“Suspek berusia 42 tahun yang bekerja sebagai jurutera itu ditahan dan pemeriksaan mendapati tahap kandungan alkohol suspek melebihi had yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, suspek ditahan reman empat hari sehingga 30 Jun ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi Insp Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 03-92740112 atau balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

 



Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »