BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Naib Presiden PKR umum keluar parti, isytihar sokong Muhyiddin dan Abang Jo


KUCHING - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebentar tadi mengumumkan beliau keluar dari parti, kekal sebagai Ahli Parlimen Bebas, yang pro Perikatan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak. 

Kenyataan yang ditandatangani oleh Jugah Muyang itu diedarkan kepada media oleh bekas setiausaha PKR Sarawak, Vernon Kedit kepada media sebentar tadi. 

Kenyataan itu agak mengejutkan kerana Jugah sebelum ini pernah menafikan dia keluar PKR. 

Jugah dalam kenyataan itu berkata dia mendapat mandat rakyat atas tiket Bebas dalam PRU-14. 

"Pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14), saya telah bertanding di kawasan Parlimen Lubok Antu sebagai calon bebas dan telah menang atas mandat rakyat," kata Jugah. 

Sejurus selepas PRU-14, Jugah berkata dia dan para penyokongnya telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), iaitu salah satu parti yang membentuk kerajaan Pakatan Harapan pada masa itu.

"Kawasan Parlimen saya merupakan kawasan luar bandar dan memerlukan bantuan serta sokongan kerajaan untuk pembangunan," terang Jugah, menegaskan dia memihak kepada kerajaan PH untuk membangunkan kawasan. 

Malangnya, kerajaan PH runtuh di tengah jalan akibat perebutan kuasa. 

" Saya berasa kesal apabila berlaku permasalahan dalaman di antara parti-parti dalam kerajaan Pakatan Harapan dan Perdana Menteri ketika itu meletakkan jawatan mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang," tambah Jugah. 

"Oleh demikian, saya telah berbincang dengan para penyokong saya dan mereka bersetuju agar saya menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional demi kebaikan dan pembangunan kawasan Lubok Antu," katanya lagi. 

Jugah turut berikrar menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional yang diketuai oleh YAB Tan Sri Muhyiddin bin Mohd. Yassin, Perdana Menteri Malaysia dan kerajaan negeri Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai YAB Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak demi kesejahteraan dan pembangunan kepada rakyat di Lubok Antu.

"Dengan ini, saya mengumumkan untuk keluar dari PKR dan kekal menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong penuh Kerajaan Perikatan Nasional serta kerajaan GPS di negeri Sarawak," rumus Jugah. 

Kenyataan yang dibuat Jugah itu disahkan oleh Vernon Kedit, yang mendakwa menyaksikan keputusan itu dibuat apabila diminta media untuk membuat rakaman video. 



Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »