BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Hubungi UNIFOR untuk buka Rumah Ibadat bukan Islam


KUCHING, 16 Jun (Bernama) -- Pejabat rumah ibadat bukan Islam di Sarawak diminta mengemukakan borang pemakluman pembukaan semula premis mereka kepada Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (Unifor) sebelum berbuat demikian bermula 20 Jun ini.

Dalam kenyataannya hari ini, Unifor berkata pembukaan semula itu hanya melibatkan rumah ibadat yang diwartakan sama ada di bawah Missionary Societies Ordinance 1967 atau Charitable Trust Ordinance 1994 dan berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966.

“Bagi yang tidak mempunyai ibu pejabat boleh terus menghantar borang tersebut kepada Unifor,” kata unit itu.

Borang tersebut boleh dimuat turun di laman sesawang Unifor di www.jkm.sarawak.gov.my selain didapati di ibu pejabat rumah ibadat masing-masing serta pejabat-pejabat residen dan daerah di seluruh negeri.

Pihak pengurusan rumah ibadat juga dikehendaki menyesuaikan garis panduan umum yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak atau yang bersesuaian dengan keperluan rumah ibadat masing-masing.
 
Garis panduan itu merangkumi syarat pematuhan dan pengawalan ketat jumlah penganut dalam satu-satu upacara ibadat mengikut saiz rumah ibadat masing masing dengan tidak melebihi 100 orang setelah mengambil kira penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter.

“Para penganut yang mempunyai gejala demam, batuk atau sesak nafas serta kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan menghadiri upacara di rumah-rumah ibadat,” demikian menurut Unifor.

Unifor turut menasihati mereka yang mempunyai penyakit kronik, terutamanya warga emas, agar mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya ingin menghadiri upacara tersebut.

Garis panduan lain yang turut diperakui juga adalah proses nyah cemar sebelum dan selepas upacara ibadat, pengambilan suhu, penggunaan pelitup separuh muka, penjarakan sosial, sanitasi tangan, pengimbasan kod QR melalui penggunaan aplikasi Mysejahtera atau CovidTrace ataupun dengan mengisi buku kehadiran.
-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »