BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Guan Eng dan Mat Sabu tunduk, Anwar tersisih

DRAMA bersiri jawatan Perdana Menteri masih berlanjutan. Skrip drama yang dirancang masih dipengaruhi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, politik Malaysia dikejutkan Dr Mahathir akhirnya berjaya meletakkan kroni beliau sebagai calon sebagai Perdana Menteri.

Beliau menyokong penuh cadangan Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Demokratik Action Party (DAP), agar presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dipilih sebagai calon untuk jawatan Perdana Menteri bagi pihak pembangkang.

Keputusan memilih Mohd Shafie, yang juga Ketua Menteri Sabah itu dicapai sebulat suara dalam satu pertemuan dengan sekutunya, Amanah, Warisan dan DAP di Rumah Tetamu Sabah pada Khamis (25 Jun). 

Pertemuan itu juga bersetuju untuk mencadangkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1, dan bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 2.

Persoalan sekarang adakah ia mendapat persetujuan daripada parti Keadilan? 

Keputusan tersebut juga menafikan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri tanpa berbincang langsung dengan PKR yang mempunyai 39 kerusi ahli Parlimen.

Permainan wayang drama tersebut menyaksikan seakan-akan PKR dan Anwar sudah tidak lagi bernilai bagi DAP, Amanah dan Warisan.

Parti-parti ini mengkhianati semangat setiakawan PKR dan Anwar sehingga bersetuju bersekongkol dengan Dr Mahathir untuk mencalonkan Shafie dan Mukhriz sekali gus meneruskan legasi dan dinasti Dr Mahathir.

Persoalan sekarang ialah adakah PKR dan Anwar akan berdiam diri di atas pengkhianatan dan penghinaan yang dilakukan oleh bekas rakan-rakan beliau dalam PH?

"Di dalam perbincangan itu, saya terbuka kepada apa juga cadangan, termasuk saya tidak dicalon sebagai bakal Perdana Menteri. Antara cadangan yang dikemukakan ialah pencalonan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri.

"Kami sebulat suara bersetuju Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dinamakan sebagai calon Perdana Menteri. Saya menyokong penuh cadangan ini. Yang penting ialah kita mempunyai pendirian yang tegas supaya rakyat tahu akan pendirian kita," kata Tun Dr Mahathir.

Sementara itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya politik tipu helah ditolak dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Menurut beliau, politik tidak sekadar perebutan kuasa tetapi juga tentang bagaimana ia mahu diterjemahkan.

"Untuk membela rakyat atau sekadar meneruskan sistem lama yang lapuk dan usang?" soal beliau dalam laman sosial rasmi Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Manakala, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, pemilihan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) membuktikan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah hilang pengaruh di dalam PH.

Menurutnya, perkara itu dibuktikan apabila wujud perbincangan tidak rasmi antara DAP, Parti Amanah Negara (Amanah), dan Warisan itu kelmarin tanpa penglibatan PKR.

“Pertama, Anwar tidak akan menjadi Perdana Menteri buat selama-lamanya. Ini juga sekali gus akan memusnahkan PKR dan berakhirlah politik dinasti Anwar di Malaysia. Ini juga dengan jelas menunjukkan parti seperti DAP, Amanah dan Warisan juga telah mengkhianati PKR dan Anwar.

"Parti-parti ini percaya bahawa Anwar dan PKR tidak akan berjaya menarik undi orang-orang Melayu untuk kembali ke PH Plus," katanya.

Pertemuan dan perbincangan tersebut secara tidak formal itu turut dihadiri Mukhriz dan Mohd Shafie sendiri, serta Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, 

Dr Mahathir berkata beliau percaya sekiranya langkah itu berjaya, ia akan merapatkan lagi hubungan di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng berkata Amanah dan DAP mengambil maklum kenyataan Dr Mahathir selepas pertemuan tidak rasmi dua hari lepas, serta cadangan untuk menamakan Mohd Shafie sebagai calon baharu Perdana Menteri jika pembangkang dapat menguasai kembali Putrajaya.

Mereka berkata Amanah dan DAP berpandangan ia sebagai suatu pilihan baharu untuk merealisasikan usaha mengembalikan semula mandat rakyat yang telah diberikan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Warisan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Bagaimanapun cadangan itu perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat Amanah dan DAP terlebih dahulu dan seterusnya dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk diputuskan bersama, kata kedua-dua pimimpin itu.

Sebelum ini Amanah dan DAP telah meminta supaya Dr Mahathir dan Anwar mencari jalan penyelesaian dan kata sepakat berhubung calon Perdana Menteri bagi pihak pembangkang.

Ia susulan kenyataan PKR, yakni satu lagi komponen dalam PH, yang menyatakan pendirian teguh menolak Dr Mahathir sebagai pilihan pihak pembangkang untuk jawatan Perdana Menteri sekiranya mereka kembali diberi kuasa meneraju negara.

PH mengambil alih pentadbiran negara selepas memenangi pilihan raya ke-42 pada Mei 2018, namun Februari lepas Dr Mahathir, yang merupakan pengerusi PH meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh selepas PH kehilangan majoriti dalam parlimen Februari lepas.

Ia berlaku selepas parti pimpinannya, Bersatu, serta satu kumpulan dari parti PKR bertindak keluar dari gabungan PH, dan Dr Mahathir kemudiannya meletak jawatan sebagai pengerusi parti Bersatu.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudiannya bersama dengan Barisan Nasional yang diterajui Umno, PAS dan beberapa pihak, menubuhkan kerajaan baharu yang dinamakan Perikatan Nasional.

Muhyiddin kemudiannya mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia kelapan pada 1 Mac.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »