BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Dr Yusuf, Penyelidik Malaysia ahli pasukan Sheffield hasilkan ujian antibodi COVID-19


KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Seorang penyelidik Malaysia adalah sebahagian daripada pasukan jurutera dan saintis daripada Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Biologi di University of Sheffield, United Kingdom (UK) yang telah menghasilkan komponen virus SARS-Cov-2 untuk ujian antibodi COVID-19.

Dr Yusuf Johari, 35, penyelidik bersekutu kanan dalam biopemprosesan dan molekul kompleks di universiti itu berkata, bahagian komponen iaitu glikoprotein ‘spike’ yang menonjol daripada permukaan virus digunakan untuk membuat kit ujian antibodi COVID-19.

Beliau berkata ujian antibodi berasaskan ‘spike’ ini adalah lebih teguh dan boleh dipercayai kerana ia akan membantu mendedahkan skala sebenar pandemik itu dalam populasi, ketetapan atau tahap imuniti dan sama ada vaksin digunakan berkesan.

“Walaupun ‘spike’ sukar dihasilkan, dunia kini ada, berdasarkan hasil kerja di Sheffield, proses biopembuatan yang lebih baik untuk molekul kompleks ini yang akan memungkinkan ujian antibodi COVID-19 yang sangat tepat.

“Ia berpotensi digunakan untuk pesakit COVID-19 yang pulih untuk menentukan antibodi dalam rembesan darah atau mukosa mereka yang secara khusus menyasarkan virus itu.

“Jika ia memberi keputusan positif terhadap pesakit yang sembuh, mereka mempunyai imuniti dan boleh mengembara dengan gembira atau mereka boleh memilih untuk menderma plasma mereka untuk membangunkan vaksin,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Yusuf, dari Kuala Lumpur, terlibat dalam kerjasama ini bersama lebih 20 pakar selama dua bulan lepas, dilantik sebagai penyelidik utama untuk proses penghasilan ‘upstream’ berdasarkan kepakarannya dalam biopemprosesan dan molekul kompleks.

“Ketua pasukan kami, Profesor David James merupakan pakar dalam penyelidik biofarmaseutikal di University of Sheffield. 

“Oleh kerana komponen ‘spike’ COVID-19 adalah molekul sangat kompleks yang tidak boleh dihasilkan dengan mudah dalam kultur sel, makmal beliau di University of Sheffield boleh dikatakan sebagai tempat terbaik untuk membangunkan platform biopemprosesan optimum.

“Pada masa ini, kami sedang menghasilkan ‘spike’ dalam kuantiti lebih besar untuk membolehkan Perkhidmatan Kesihatan Nasional melancarkan ujian antibodi kepada bahagian lebih besar dalam populasi UK serta terus meningkatkan lagi kecekapan pengeluaran.

“Bahan ini kini berjaya digunakan oleh hospital tempatan di Sheffield dan makmal penyelidikan perubatan universiti,” katanya.

Yusuf berkata penyelidikan ini adalah sebahagian daripada usaha global dalam memerangi COVID-19 secara berterusan.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya berbangga dan berasa rendah hati dapat menyumbang ke arah itu dan bekerja bersama-sama jurutera dan saintis biologi yang cemerlang.

“Nasihat saya kepada jurutera dan saintis generasi akan datang; pendidikan tinggi awal lebih kepada melatih cara anda berfikir dan bekerja, oleh itu belajar semua subjek kursus anda bersungguh-sungguh walaupun ia mungkin tidak berkaitan.

“Anda mungkin menyasarkan yang terbaik, tetapi lebih penting adalah fokus kepada usaha diperlukan untuk mencapainya,” katanya.
-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »