BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Dana Penjana Nasional RM1.2 bln pacu pemulihan ekonomi menerusi digitalisasi

KUALA LUMPUR, 5 Jun -- Kerajaan akan menubuhkan Dana Penjana Nasional berjumlah RM1.2 bilion dalam usaha memacu pemulihan ekonomi negara menerusi proses digitalisasi perniagaan.

Ketika mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jumlah tersebut merangkumi peruntukan berjumlah RM600 juta daripada kerajaan dan dipadankan dengan RM600 juta daripada pelabur domestik dan antarabangsa. 

Menurut perdana menteri, dana tersebut akan digunakan untuk memupuk inovasi dan mengembangkan bakat modal teroka tempatan.

Malah, antara pelabur antarabangsa yang berminat untuk turut serta termasuk SK Group, Hanwha Asset Management, KB Investment Co Ltd, Provident Growth, 500 Startups dan The Hive.

"Bagi melengkapkan usaha digitalisasi, kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta bagi menubuhkan ‘National Technology and Innovation Sandbox’ (Sandbox Teknologi dan Inovasi Kebangsaan) yang akan diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan memberi kelonggaran beberapa peraturan untuk menguji cuba teknologi baharu. 

"Contohnya, menguji penghantaran pembelian dalam talian melalui dron dan penggunaan kenderaan pandu sendiri," katanya ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen termasuk Bernama TV.

Kerajaan memperkenalkan PENJANA yang bertemakan ‘Bersama Menjana Ekonomi’ sebagai langkah segera untuk membangun dan merancakkan semula ekonomi negara untuk jangka pendek dan merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion.

Menurut Perdana Menteri, dalam usaha terus menggalakkan digitalisasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan ke arah Revolusi Industri 4.0, kerajaan akan menyediakan lebih banyak perkhidmatan secara dalam talian atau e-kaunter. 

"Ini termasuk melaksanakan proses mematikan setem, menyemak dan menuntut Wang Tidak Dituntut bermula 1 Oktober 2020 dan sesi e-temuduga bagi permohonan biasiswa kerajaan.

“Sehubungan itu, saya menyeru lebih banyak agensi dan Kementerian untuk (turut sama) merancakkan usaha digitalisasi dan automasi," katanya.

Muhyiddin berkata bagi menggalakkan rakyat supaya menyokong produk dan perkhidmatan tempatan pula, kerajaan juga akan meneruskan kempen ‘Buy Malaysia’ dengan pelaksanaan beberapa inisiatif termasuk menggalakkan rangkaian pasar raya besar membuat penandaan produk tempatan selain mewujudkan saluran produk Malaysia khusus di platform e-dagang.

Menurut perdana menteri, sejajar usaha menjalani kehidupan norma baharu susulan wabak COVID-19, semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk menggunakan pembayaran tanpa sentuh.

Sehubungan itu, bagi menggalakkan penggunaan perkhidmatan ini melalui Program ePenjana yang bernilai RM750 juta, kerajaan akan mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet para pengguna, kata beliau.

"Ini akan dipadankan dengan tambahan baucar, pulangan tunai dan diskaun berjumlah RM50 daripada syarikat khidmat e-dompet.

“Inisiatif ini yang akan bermula pada Julai 2020 akan memanfaatkan 15 juta rakyat Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerajaan turut menyeru syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan-badan korporat dan institusi kewangan supaya mempercepatkan pembayaran kepada pembekal mereka dan telah menyaksikan beberapa GLC dan badan korporat seperti Axiata, TNB, Telekom Malaysia dan Petronas berbuat demikian. 

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »