BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Caj tambahan gunting rambut atas dua barang sahaja- KPDNHEP

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan dandanan dan gunting rambut hanya dibenarkan mengenakan caj tambahan untuk dua barangan kegunaan pelanggan, melibatkan alas gunting rambut pakai buang dan set sarung tangan sahaja.

Menurut Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman dalam kenyataan hari ini, peniaga perlu memastikan caj itu berpatutan dengan merujuk kepada kos belian bagi penggunaan setiap barangan.

“Ini bagi mengelakkan daripada sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap peniaga.

“Saya faham bahawa peniaga perlu mematuhi Standard Operasi Prosedur (SOP) bagi pembukaan perkhidmatan itu yang menyebabkan pertambahan kos operasi. 

Namun ia adalah kebiasaan baharu yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan penularan COVID-19,” katanya.

Jelas beliau, KPDNHEP telah memantau dan membuat pemeriksaan ke atas 51 premis bagi 274 perkhidmatan gunting rambut di seluruh negara mulai 10 Jun melalui tindakan di bawah OPS CATUT 7.0 (Dandanan & Gunting Rambut).
 
Daripada jumlah itu, 250 notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 pada hari sama serta peniaga yang didapati menaikkan caj perkhidmatan diarah untuk menurunkan kepada caj asal.

Iskandar berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas peniaga yang gagal atau enggan mematuhi arahan itu di bawah AKHAP 2011 serta boleh didenda sehingga RM500,000.

“Pada 9 Jun, Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP telah mengadakan sesi libat urus dengan wakil daripada tujuh persatuan penyedia perkhidmatan dandanan dan gunting rambut untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kos langsung yang ditanggung peniaga ekoran pematuhan SOP.

“Hasil mesyuarat itu mencapai persetujuan agar peniaga tidak menaikkan kadar upah bagi perkhidmatan gunting rambut dan hanya mengenakan caj tambahan kepada pengguna bagi penyediaan dua barangan itu sahaja,” katanya.

Kerajaan telah membenarkan sektor perkhidmatan gunting rambut beroperasi mulai 10 Jun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula pada Rabu (10 Jun).
-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »