BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Bandar Pintar di Sarikei, Abang Jo


SARIKEI,  23 Jun (Bernama)-- Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini meluahkan keyakinan bahawa ekonomi negeri mampu pulih kembali dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan (PKPP) susulan pelaksanaan beberapa projek oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata pelaksanaan projek-projek tersebut akan mewujudkan rantaian bekalan dan peluang perniagaan kepada rakyat selepas kira-kira tiga bulan aktiviti ekonomi hampir terhenti sepenuhnya. 

“Kita mulakan dengan pelaksanaan projek-projek ini yang seterusnya akan menghasilkan perkara-perkara lain,” katanya berucap sebelum merasmikan upacara pecah tanah bagi projek  Pusat Pentadbiran Bersepadu Sarikei (IAC) di sini.


Mengenai IAC yang bernilai RM140 juta itu, beliau berkata kompleks tersebut akan menempatkan jabatan dan agensi kerajaan negeri di bawah satu bumbung yang dilengkapi teknologi terkini untuk dimanfaatkan bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada penduduk di Sarikei. 

“Ini seiring dengan rancangan kita untuk membangunkan bandar-bandar pintar dan apa yang kita panggil ‘Sarikei Extension and Urban Development’,” katanya. 

Terdahulu, Abang Johari mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Sarawak di Pusat Inovasi Sarikei yang membincangkan pembangunan yang sedang dilaksana di sini.   

Beliau berkata projek-projek bernilai RM772 juta melibatkan pembinaan jalan dan jambatan serta bekalan air dan elektrik berjalan lancar walaupun mengalami sedikit kelewatan disebabkan PKP.

Katanya projek-projek terbabit bersambung semula di bawah normal baharu dengan penguatkuasaan prosedur operasi standard yang akan terus digunakan oleh kerajaan negeri, terutamanya dalam pengurusan tenaga kerja dari luar Sarawak bagi membendung penularan COVID-19.

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »