BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Agong kurnia sumbangan MAIWP bernilai RM1.8 juta kepada veteran ATM


KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama)-- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM1.8 juta daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada 6,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Majlis Pengurniaan Sumbangan Ampun Kurnia Kepada Veteran ATM yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan itu adalah usaha MAIWP bagi membantu veteran ATM dalam kalangan B40. 

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan ampun kurnia berupa wang tunai dan hamper barangan makanan asas kepada 10 veteran ATM sebagai simbolik Seri Paduka berkenan berangkat menyantuni golongan veteran ATM yang telah banyak mencurahkan bakti kepada negara.

Keberangkatan Al-Sultan Abdullah ke majlis itu turut mencerminkan keperibadian tinggi dan keprihatinan Seri Paduka dalam menyantuni golongan berkenaan serta membantu golongan yang memerlukan bantuan untuk kelangsungan hidup. 

Majlis hari ini dianjurkan MAIWP dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Istana Negara, Kementerian Pertahanan dan pertubuhan bukan kerajaan Bantu-Bantu Malaysia.

Turut hadir ialah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien AlHabshee dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail.

Majlis pengurniaan sumbangan hari ini juga adalah aktiviti ketiga Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat hadir, yang diadakan di luar Istana Negara, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas. 

Sebelum ini pada 10 Jun, Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan sumbangan kepada golongan gelandangan, manakala pada 12 Jun Seri Paduka berkenan mengurniakan sumbangan kepada golongan anak yatim. 

Pesara ATM, Lokman Ali, 51, menzahirkan kesyukuran atas bantuan yang diberikan dan keprihatinan Seri Paduka dalam mengiktiraf jasa dan pengorbanan pahlawan negara. 

Berkongsi pengalaman, Lokman berkata beliau pernah berkhidmat bersama Al-Sultan Abdullah di Kem Sungai Udang, Melaka pada 2001 bagi mendapatkan penganugerahan beret hijau komando.

“Bagi mendapatkan anugerah beret hijau, Seri Paduka yang juga Tengku Mahkota Pahang ketika itu terpaksa melalui satu ujian bersama unit lawan keganasan gerak khas untuk berada di rumah tempur.

“Saya seorang daripada unit lawan keganasan yang melakukan satu tugas menyelamatkan tebusan yang mana senarionya Al-Sultan Abdullah sebagai tebusan dan saya ditugaskan menembak sasaran pengganas yang berada di kiri dan kanan Tuanku,” katanya selepas majlis berkenaan.

Menganggap ia pengalaman yang sangat berharga dan sukar dilupakan, Lokman berkata Al-Sultan Abdullah bersama pasukannya berjaya melaksanakan misi dengan jayanya. 

Pesara ATM, Abdul Rahim bin A. Karim, 60, pula terharu dengan keperibadian Al-Sultan Abdullah yang bertanyakan keadaan dirinya dan menasihati beliau menjaga kesihatan diri. 

Abdul Rahim yang kehilangan kedua-dua kaki akibat terpijak jerangkap samar ketika bertugas di Gerik pada 1982 itu juga teruja dapat berjumpa dengan Seri Paduka yang disifatkannya berjiwa rakyat. 

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »