BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

635 kedai gunting diberi notis tunjuk sebab


PUTRAJAYA, 17 Jun (Bernama) -- Sebanyak 635 notis tunjuk sebab dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kepada penyedia perkhidmatan kedai gunting rambut, pendandan rambut dan salun kecantikan seluruh negara kerana didapati menaikkan kadar caj perkhidmatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata mereka yang gagal mengemukakan maklumat notis mengikut tempoh yang ditetapkan atau didapati mencatut, akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

Dalam satu temu bual khas dengan Bernama di sini semalam, beliau berkata sejak PKPP dilaksanakan 10 Jun lepas, pihaknya melaksanakan penguatkuasaan di bawah Ops Catut 7.0 dengan menyasarkan penyedia perkhidmatan berkenaan dan pemeriksaan dilakukan bagi memantau kenaikan kadar caj yang dikenakan melalui pengeluaran notis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011.

Sementara itu, mengulas berhubung trend harga minyak terkini, Nanta berkata pihak kementerian akan memastikan pengusaha stesen minyak mematuhi harga ditetapkan Kementerian Kewangan.

"Saya faham keluhan yang diutarakan pengguna sejak akhir-akhir ini seperti yang sering dikongsikan di media sosial berkaitan kenaikan harga minyak, namun ingin saya tekankan bahawa penentuan harga siling minyak ditentukan oleh Kementerian Kewangan dengan penetapannya masih menggunakan Mekanisma Harga Automatik (APM) yang dipengaruhi harga minyak yang selari dengan harga minyak mentah dunia,” katanya.
 
Jelasnya, kerajaan tidak akan berdiam diri dan akan memikirkan tindakan atau mekanisma yang sewajarnya sekiranya harga minyak naik pada paras yang tidak berpatutan.

Dalam pada itu, Nanta menegaskan sumbangan pegawai dan anggota KPDNHEP juga amat penting lebih-lebih lagi semasa negara sedang berjuang untuk membendung penularan pandemik COVID-19.

"Semasa memerangi COVID-19, kita berganding bahu melaksanakan pasukan petugas bersama agensi penguat kuasa yang lain seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan,” katanya.

Sementara itu di BUKIT MERTAJAM, seorang peniaga durian dikompaun RM1,000 oleh KPDNHEP Pulau Pinang kerana menggunakan alat timbang dan sukat yang telah tamat tempoh dalam satu pemeriksaan, Isnin lepas.

Pengarah pejabat KPDNHEP negeri, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata dalam pemeriksaan itu yang dijalankan penguat kuasanya di gerai sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) mendapati kebanyakan peniaga mempamerkan tanda harga pada buah-buahan yang dijual mereka, namun sebuah gerai di Bukit Mertajam telah menggunakan alat penimbang yang telah tamat tempoh penentusahan untuk tujuan perdagangan.

Beliau berkata operasi yang dijalankan memfokuskan kepada pemeriksaan terhadap peniaga buah, terutama durian yang bersifat sementara serta bermusim dan ia akan berterusan terutama di lokasi tumpuan pembeli hingga tamat musim durian.
-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »