BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Warga emas sambut Gawai sendirian


BINTULU: Kemeriahan Hari Gawai sebelum ini sudah pudar bagi warga emas, Sedi Kedit, 80, kerana hanya tinggal seorang diri dan menghuni rumah usang di Batu 36, Jalan Bintulu-Miri, di sini.

Namun, pada perayaan Gawai kali ini dia menerima sedikit bantuan berbentuk makanan daripada  Yayasan Petronas melalui Program Sentuhan Kasih bersempena dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai bagi meringankan beban ribuan keluarga yang berpendapatan rendah di negara ini sejak dilancarkan pada tahun 2005. 

Sedi antara 1,200 keluarga di Sarawak dan 5,000 keluarga di seluruh Malaysia yang menerima sumbangan dari Petronas pada tahun ini.

Rumahnya dikelilingi semak, dibina sejak lima tahun lalu, rumah kecil itu tempatnya berteduh, bahang cuaca panas terik begitu terasa di dalam rumah itu memandangkan haba dari atap zink langsung ke ruangan biliknya.

Dia yang mahu disapa sebagai ‘Indai Man’ berasal dari Nanga Awik Krian, Saratok, telah menetap di Bintulu lebih 20 tahun yang lalu. 

"Pada awalnya, saya mengikut suami bekerja di ladang sebelum memutuskan untuk terus menetap di sini. 

“Rumah saya tiada elektrik, oleh itu saya nekad untuk membeli penjana kuasa tenaga solar sejak dua tahun lepas yang digunakan untuk mengecas telefon bimbit serta kipas dan lampu,"katanya.

Namun,katanya, sekiranya cuaca mendung, ia hanya mampu menghidupkan lampu malam sahaja dan  perlu menggantung kelambu agar tidak digigit nyamuk pada waktu malam.

"Saya bergantung sepenuhnya kepada air hujan untuk kegunaan seharian. Di usia lanjut, saya masih perlu berjuang demi kehidupan seharian seorang diri. 

"Untuk kelangsungan hidup, saya bercucuk tanam di tepi rumah, selain mengharapkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM),"katanya.

Sedi berkata,hasil tanaman akan dijual,malah bagi menjana pendapatan dia turut memutuskan untuk menternak ayam kampung.

"Ayam kampungnya dijual kepada pembeli yang lalu lalang di sekitar kediaman.

"Namun, hasilnya agak terbatas memandangkan ayam yang dibela sering dimakan biawak yang masuk ke halaman rumah,"katanya.

Menurutnya, hasil perkahwinan pertama, dia dikurniakan empat orang anak yang kini masing-masing menetap di Kuching, Sibu dan Saratok. 

"Hasil perkahwinan kedua bersama Juti Digat, saya dikurniakan seorang anak lelaki, Seman Juti yang berusia dalam lingkungan 30-an.

"Suami telah meninggal dunia akibat sakit tua pada tahun 2016,anak pula mempunyai tanggungjawab sendiri untuk keluarga,"katanya.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »