BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Topeng RM11.20 sekeping masih disiasat - Nanta



PUTRAJAYA, 19 Mei -- Kes sebuah hospital swasta mengenakan caj RM11.20 untuk sekeping pelitup separuh muka tiga lapisan terhadap pesakit masih dalam siasatan dan tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya dakwaan itu benar, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi.

Katanya kementerian masih meneliti keseluruhan kes bagi menentukan bagaimana caj tersebut dikenakan.

“Mungkin dia (hospital) bukan jual secara retail, mungkin dia jual sebagai komponen perkhidmatan atau rawatan.

“Kita tak tahu lagi dan sedang siasat. Kalau dia jual sebagai retail, memang satu kesalahan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Nanta diminta mengulas mengenai dakwaan Persatuan Farmasi Malaysia bahawa kementerian itu seolah-olah memberikan kelonggaran kepada hospital tersebut kerana tiada tindakan segera dikenakan berhubung penjualan pelitup separuh muka melebihi harga siling.

Pada 15 Mei lepas, kementerian itu mengesahkan telah membuat pemeriksaan terhadap hospital swasta berkenaan susulan aduan orang awam yang dikenakan caj sebanyak RM201.60 bagi 18 keping pelitup separuh muka tiga lapisan yang dipakai oleh jururawat yang merawat pesakit.

Kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi kesalahan menjual atau menawarkan untuk menjual barang harga terkawal (pelitup hidung dan mulut tiga lapisan) melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

Harga siling bagi item berkenaan ialah RM1.50 sekeping.

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »